Hasrat lahir 100 tukang gunting rambut profesional

Hasrat lahir 100 tukang gunting rambut profesional

am@hmetro.com.my

Melaka: Selepas membina karier hampir 10 tahun dalam dandanan rambut, seorang pemuda mengambil langkah mengembangkan ilmu serta kemahirannya kepada golongan belia, khususnya dari negeri ini yang berminat.

Muhammad Hilman Mohd Rosli, 28, berhasrat memberikan kursus gunting rambut profesional secara percuma kepada golongan belia.

Beliau berkata, melalui akademi yang baru ditubuhkan Januari lalu, dia terpanggil menganjurkan sesi latihan serta kursus khas buat usahawan baharu yang berminat menceburi bidang berkenaan dengan sasaran untuk melahirkan sekurang-kurangnya 100 tukang gunting rambut ‘premium’ menjelang akhir tahun ini.

“Usaha ini boleh dianggap sebagai sumbangan kami kepada golongan belia semua kaum yang berusia di bawah 25 tahun dan sekiranya ada dalam kalangan peserta yang melepasi syarat kelayakan selepas ditemuduga, saya sendiri akan menaja mereka sepanjang mengikuti kursus ini.

“Syarat paling utama adalah lelaki bujang berumur bawah 25 tahun dan golongan B40 yang mempunyai minat mendalam dalam kemahiran gunting rambut kerana nilai yang kita taja selama setahun tempoh kursus ini berjumlah hampir RM20,000.

“Pada masa sama, saya juga meletakkan sasaran iaitu sebahagian lagi peserta yang akan ditawarkan menyertai kursus berkenaan adalah mereka yang berumur sehingga 60 tahun kerana saya yakin ramai yang mula sedar pekerjaan sebagai tukang gunting rambut ‘premium’ seperti di Hillmen adalah kerjaya lumayan yang boleh menjamin masa depan,” katanya.

Muhammad Hilman berkata, pengambilan kumpulan pelajar bagi kursus gunting rambut selama setahun itu turut menyediakan penginapan selain memberikan gaji kepada peserta.

“Kita akan bahagikan kepada lima sesi pengambilan setahun iaitu sebulan menjalani latihan teori dan praktikal di akademi diikuti bulan kedua melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam dunia sebenar, sementara pada bulan ketiga dan seterusnya, mereka akan diserap bekerja di mana-mana tiga cawangan Hillmen Hair Studio di Ayer Keroh, Sungai Udang atau Masjid Tanah dengan diberikan gaji tetap,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top