Hasrat berpuasa di kampung isteri tidak kesampaian

Hasrat berpuasa di kampung isteri tidak kesampaian

am@hmetro.com.my

Jelebu: Hasrat seorang lelaki mahu berpuasa di kampung isterinya di Sungai Siput, Perak tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Mohammad Daud Karim, 28, Orang Asli suku Temuan dan isterinya Murni Siong, 40, Orang Asli suku Temiar meninggal dunia di tempat kejadian.

Abang kepada Mohammad Daud, Yusman Karim, 29 berkata arwah adiknya bersama isteri dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil barang keperluan di sebuah pasar raya menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Arwah adik memang bercadang berpuasa dan menyambut Aidilfitri di kampung isterinya kerana mempunyai dua anak tiri hasil perkahwinan isterinya yang terdahulu.

“Anak-anak tirinya berada di Perak bersama keluarga isteri dan disebabkan itu arwah adik mahu tinggal lebih lama di kampung isterinya menyambut puasa dan hari raya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya adiknya sudah setahun mendirikan rumah tangga dengan isteri yang dikenali melalui aplikasi media sosial dan belum mempunyai anak.

Yusman berkata arwah juga baru seminggu membeli sebuah motosikal terpakai berharga RM3,600 secara tunai untuk kegunaan isterinya.

Difahamkan, jenazah Mohammad Daud akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geylang manakala jenazah Murni akan dibawa pulang ke Sungai Siput.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top