Hasni mampu pacu kecemerlangan Johor – Bekas ADUN Bersatu

Hasni mampu pacu kecemerlangan Johor – Bekas ADUN Bersatu

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berupaya untuk memacu kecemerlangan negeri itu sekiranya pentadbiran beliau memenuhi satu kriteria paling utama iaitu memiliki pasukan yang saling melengkapi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, pasukan berkenaan adalah pasukan yang boleh menutup kelemahan individu.

Menurut beliau, jika perkara itu dapat dilaksana, Hasni mampu mentadbir Johor mencapai kecemerlangan pada masa depan selaku Menteri Besar.

“Tidak elok untuk membandingkan seseorang individu, tetapi masih banyak ruang yang boleh beliau pertingkat dan perbaiki dalam memegang tanggungjawab itu. Untuk memimpin negeri kita harus ada satu pasukan yang bagus, berpandangan jauh dan menolak ketepi soal politik sebaliknya fokus kepada tugas.

“Jadi dia (Hasni) boleh lakukan dengan lebih baik sekiranya mempunyai pasukan dengan kombinasi baik dan menyumbang untuk menutup kelemahan masing-masing, saling melengkapi, itu yang penting,” katanya selepas melawat Restoran The Tent, di Jalan Yahya Awal, di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Mohd. Izhar, kejayaan sesebuah kerajaan bukan sahaja terletak di bahu seorang individu yang diangkat sebagai ketua, tetapi sebaliknya adalah hasil kerjasama ramai pihak.

“Perancangan, ramalan, perbelanjaan dan pendapatan kerajaan mesti seimbang. Sebagai pentadbir kerajaan kita perlu guna kaedah yang menguntungkan kerajaan dan beri manfaat kepada rakyat.

“Jadi kita perlu beri beliau masa untuk dia perbaiki aspek yang yang kurang kerana sebagai manusia, kita semua tidak sempurna dan tidak pandai dalam semua bidang,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mengakui berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi sepanjang memikul amanah sebagai Exco kerajaan negeri dan pengunduran beliau termasuk selaku wakil rakyat dibuat secara terhormat.

“Walaupun dalam tempoh berkempen dan kita bakal memiliki kerajaan negeri baharu, saya masih tetap menjalankan tugas Exco. Sehingga ke hari ini masih ramai khususnya pelabur yang menghubungi saya, selain itu saya juga telah meminta agensi terlibat untuk terus bekerja walaupun dalam situasi ketika ini.

“Ini kerana keutamaan perlu diberikan kepada pelabur serta rakyat dan sebarang tindakan yang boleh diambil mesti disegerakan, bukan ditangguh,” katanya yang tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam pada itu, Mohd. Izhar yang telah membuat keputusan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini memberitahu, beliau bercadang untuk menyertai perjuangan UMNO namun sedang menunggu masa sesuai.

“Seperti saya katakan, saya menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetapi saya perlu lalui saluran yang betul kerana sekarang ini semua pihak sedang sibuk, jadi biar mereka berjuang dahulu dan saya akan bantu di belakang tabir.

“Tidak kira sama ada UMNO menang besar atau kalah dalam PRN Johor ini, saya akan tetap beri sokongan kepada mereka, kerana mereka merupakan satu-satunya parti politik yang dominan di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top