Harus dukung kanak-kanak di dalam solat

Harus dukung kanak-kanak di dalam solat

– Advertisement –

Terjemahan dan Ringkasan Kitab Hadith Lu’Lu’ Dan Marjan Disertakan Sedikit Keterangan

– Advertisement –

Telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Ansori:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

Ertinya: “Bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam adalah baginda sedang solat dan baginda mendukung akan Umamah binti Zainab binti Rasulullah sollallahu alaihi wasallam dan bagi Abi Al-‘As bin Rabi’ah bin Abdu Shams. Maka apabila baginda sujud baginda meletakkannya dan apabila berdiri baginda mendukungnya.

Keterangan

Hadis ini datang pada menerangkan perbuatan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam mendukung kanak-kanak di dalam solat dan hukumnya.

Kisah Rasulullah dan cucunya Umamah

Abu Qatadah Al-Ansori yang nama tubuhnya Al-Haris bin Rabi’ie r.a. berkata bahawasanya Nabi sollallahu alaihi wasallam telah menunaikan solat sambil mendukung akan kanak-kanak yakni cucunya yang bernama Umamah binti Zainab puteri kepada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.

Umamah ini adalah anak kepada Zainab r.a. dengan suaminya Abu Al-‘As bin Rabi’ah dan mereka ada seorang lagi anak yang bernama Ali.

Ibu kepada Abu Al-‘As ialah Hallah binti Khuwailid yaitu saudara kepada Kahdijah r.a.

Dan Umamah inilah yang berkahwin dengannya oleh Ali bin Abi Talib r.a. setelah wafatnya Fatimah r.a.

Maka adalah Rasulullah apabila hendak sujud baginda meletakkan Umamah dan apabila bangun berdiri didukungnya semula.

Dalam satu riwayat Imam Muslim berkata Abu Qatadah:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا، وَإِذَا رَفَعَ مِنَ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Ertinya: “Aku telah melihat akan Nabi sollallahu alaihi wasallam menjadi imam kepada manusia dan Umamah binti Abi Al-‘As yaitu anak perempuan Zainab puteri Nabi sollallahu alaihi wasallam di atas dukungnya maka apabila hendak rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud diulangi dukungnya.”

Dan pada riwayat At-Tabarani:

فَكَانَ إِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا، وَإِذَا رَفَعَ حَمْلَهَا عَلَى عَاتِقِهِ، فَلَمْ يَزَلْ كَذَلِكَ حَتَّى فَرَغَ مِنْ صَلَاتِهِ

Ertinya: “Maka jadilah baginda apabila hendak rukuk diletakkannya dan apabila bangun diangkatnya atas dukungnya. Maka sentiasalah seperti demikian sehingga selesai daripada solatnya.”

Dan pada satu riwayat Imam Muslim:

وَهُوَ يَؤُمُّ النَّاسَ فِي الْمَسْجِدِ

Ertinya: “Dan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sedang menjadi imam bagi orang-orang di dalam masjid.”

Dan adalah solat yang mendukung oleh Nabi sollallahu alaihi wasallam akan cucunya itu ialah solat zuhur atau asar dan berkata sebahagian fuqahak ialah solat sunat.

Telah sabit pada riwayat Abu Daud berkata Abu Qatadah r.a.:

بَيْنَمَا نَحْنُ نَنْتَظِرُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلصَّلَاةِ فِي الظُّهْرِ، أَوِ الْعَصْرِ، وَقَدْ دَعَاهُ بِلَالٌ لِلصَّلَاةِ، إِذْ خَرَجَ إِلَيْنَا وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ بِنْتُ ابْنَتِهِ عَلَى عُنُقِهِ

Ertinya: “Ketika kami sedang menunggu akan Rasulullah sollallah alaihi wasallam untuk solat pada zuhur atau asar dan sungguh telah memanggilnya oleh Bilal kepada solat tiba-tiba keluar Rasulullah sollallahu alaihi wasallam kepada kami dan Umamah binti Abi Al-‘As anak perempuan bagi puterinya berada di atas dukungnya.”

Pergerakan sedikit tidak membatalkan solat

Barangsiapa melakukan perbuatan yang bukan perbuatan solat selepas daripada takbiratulihram dan sebelum salam maka jika perbuatan yang banyak nescaya batal solatnya dan jika sedikit maka tidaklah batal solatnya.

Berkata Imam Ibnu Abdil Barri:

وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ الْعَمَلَ الْخَفِيفَ فِي الصَّلَاةِ جَائِزٌ وَأَنَّ الْعَمَلَ الْكَثِيرَ الَّذِي يَبِينُ بِهِ تَرْكُ الصَّلَاةِ لَهُ لَا يَجُوزُ وَكَذَلِكَ فَهُوَ مُفْسِدٌ لِلصَّلَاةِ

Ertinya: “Dan sungguh telah ijmak oleh ulamak atas bahawasanya perbuatan yang ringan di dalam solat adalah harus dan bahawasanya perbuatan yang banyak yang jelas dengannya meninggalkan solat baginya adalah tidak harus dan seperti demikian juga maka ia merosakkan bagi solat.” (Kitab Al-Istizkar)

Bermula misal perbuatan yang banyak itu ialah seperti tiga kali bergerak anggota berat secara berturut-turut dan melompat dan terjun dan berjalan dan berlari dan seumpamanya.

Dan misal perbuatan yang sedikit itu ialah seperti pergerakan anggota ringan seperti jari dan kelopak mata dan bibir dan melangkah tidak sampai tiga kali berturut-turut dan memberi isyarat dan menahan suatu dan mengangkat suatu dan seumpamanya.

Berkata Imam Al-Imrani As-Syafie:

وإن عمل في الصلاة عملاً ليس من جنسها نظرت : فإن كان قليلاً مثل : دفع المارِّ بين يديه، وفتح الباب، وخلع النعل، وإصلاح الرداء عليه، والحمل، أو الوضع، أو الإشارة، وما أشبه ذلك. . لم تبطل صلاته لـأن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أمر المصلِّي بدفع المارِّ بين يديه ، وخلع نعليه في الصلاة ، وحمل ابنة ابنته، وهي أمامةُ بنت أبي العاص، وهو يصلي، فكان إذا سجد وضعها , وإذا قام رفعها وسلم عليه الأنصار وهو يصلي، فردَّ عليهم بالإشارة ، وهو إجماع لا خلاف فيه ولأن المصلِّي لا يخلو من عمل قليلٍ، فعُفي عنه

Ertinya: “Dan jika dikerjakan di dalam solat akan satu perbuatan yang bukan daripada jenisnya maka hendaklah dilihat terlebih dulu. Maka jika adalah perbuatan itu sedikit misalnya menolak orang yang melintas dihadapannya dan membuka pintu dan menanggalkan selipar dan membetulkan selendang atasnya dan mendukung atau meletakkan atau membuat isyarat dan barang yang seumpama demikian itu nescaya tidak batal solatnya kerana sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam menyuruh orang yang solat menolak orang yang melintas di hadapannya dan menanggalkan seliparnya di dalam solat dan mendukung cucu perempuannya dan yaitu Umamah binti Abi Al-As sedangkan baginda sedang solat maka jadilah apabila hendak sujud diletakkannya dan apabila hendak berdiri diangaktnya dan orang-orang Ansar telah memberi salam ke atasnya ketika mana baginda sedang solat maka dikembalikan atas mereka dengan isyarat. Dan ialah ijmak yang tiada khilaf padanya dan kerana sungguhnya orang yang solat itu tiada sunyi ia dari pekerjaan yang sedikit maka diberi maaf daripadanya.” (Kitab Al-Bayan)

Maka hadis ini menjadi dalil mendukung kanak-kanak di dalam solat tidak membatalkan solat sama ada pada solat fardu atau sunat dan sama ada menjadi imam atau makmum atau solat sendirian.

Berkata As-Son’ani:

وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ حَمْلَ الْمُصَلِّي فِي الصَّلَاةِ حَيَوَانًا أَوْ آدَمِيًّا أَوْ غَيْرَهُ لَا يَضُرُّ صَلَاتَهُ، سَوَاءٌ كَانَ ذَلِكَ لِضَرُورَةٍ أَوْ غَيْرِهَا، وَسَوَاءٌ كَانَ صَلَاةَ فَرِيضَةٍ أَوْ غَيْرَهَا، وَسَوَاءٌ كَانَ إمَامًا أَوْ مُنْفَرِدًا، وَقَدْ صَرَّحَ فِي رِوَايَةِ مُسْلِمٍ : أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إمَامًا ، فَإِذَا جَازَ فِي حَالِ الْإِمَامَةِ جَازَ فِي حَالِ الِانْفِرَادِ، وَإِذَا جَازَ فِي الْفَرِيضَةِ جَازَ فِي النَّافِلَةِ بِالْأُولَى.

Ertinya: “Dan hadis ini menjadi dalil atas bahawasanya mendukung orang yang solat di dalam solat akan haiwan atau manusia atau lainnya tidak memudaratkan solatnya samada yang demikian itu kerana darurah atau lainnya dan sama ada solat yang fardu atau lainnya dan sama ada dia imam atau sendirian. Dan sungguh telah menjelaskan pada riwayat Muslim sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam adalah baginda menjadi imam. Maka apabila harus ia ketika menjadi imam nescaya harus pula pada ketika sendirian. Dan apabila harus ia pada solat fardu nescaya harus pula pada solat sunat itu lebih utama.” (Kitab Subul As-Salam)

Dan berkata Imam Ibnu Abdil Barri:

وَأَمَّا مَعْنَى هَذَا الْحَدِيثِ فَمَعْنَاهُ أَنَّ حَمْلَ الطِّفْلَةِ أَوِ الطِّفْلِ عَلَى عُنُقِ الْمُصَلِّي وَوَضْعَهَا وَرَفْعَهَا لَا يُفْسِدُ ذَلِكَ كُلُّهُ صَلَاةَ الْمُصَلِّي وَلَا تَضُرُّ مُلَامَسَتُهُ لَهَا وَضَوْءَهُ

Ertinya: “Dan adapun makna hadis ini bahawasanya menanggung kanak-kanak perempuan atau lelaki atas dukung orang yang solat dan meletakkannya dan mengankatnya tidak merosakkan oleh sekalian yang demikian itu akan solat orang yang solat dan tidak juga memudaratkan oleh sentuhnya baginya akan wuduknya.” (Kitab Al-Istizkar)

Dan ditanggungkan akan tidak batal solat mendukung kanak-kanak itu dengan perbuatan yang ringan dan ditanggung atas bersih badan dan pakaiannya kerana jika ada najis pada badannya seperti kencing atau ternajis pakaiannya nescaya tidak sah solat kerana dikira menanggung akan suatu yang ada najis.

Berkata As-Son’ani lagi:

وَفِيهِ دَلَالَةٌ عَلَى طَهَارَةِ ثِيَابِ الصِّبْيَانِ وَأَبْدَانِهِمْ، وَأَنَّهُ الْأَصْلُ مَا لَمْ تَظْهَرْ النَّجَاسَةُ، وَأَنَّ الْأَفْعَالَ الَّتِي مِثْلَ هَذِهِ لَا تُبْطِلُ الصَّلَاةَ، فَإِنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ، يَحْمِلُهَا وَيَضَعُهَا، وَقَدْ ذَهَبَ إلَيْهِ الشَّافِعِيُّ وَمَنَعَ غَيْرُهُ مِنْ ذَلِكَ، وَتَأَوَّلُوا الْحَدِيثَ بِتَأْوِيلَاتٍ بَعِيدَةٍ

Ertinya: “Dan padanya menunjukkan atas suci pakaian kanak-kanak dan tubuh badan mereka. Dan sungguhnya ia adalah yang asal selama tidak terang ada najis dan sungguhnya segala perbuatan yang seperti ini tidak membatalkan solat kerana sungguhnya Nabi solalllahu alaihi wasallam adalah menanggungnya dan meletakkannya. Dan sungguh telah berjalan kepadanya oleh Imam Syafie dan menegah oleh lainnya akan dari yang demikian itu dan mentakwilkan akan hadis dengan takwilan yang jauh.” (Kitab Subul As-Salam)

Dan hendaklah diketahui perbuatan Nabi sollallahu alaihi wasallam mendukung kanak-kanak ketika solat ini bukanlah perbuatan yang disuruh atau disunatkan bahkan ia hanyalah menunjukkan harus ketika perlu kerana itu tiada diriwayatkan dari Rasulullah sollallahu alaihi wasallam mendukung kanak-kanak di dalam solat melainkan pada ini hadis.

Berkata Ibnu Abdil Barri:

وَقَدْ قَالَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ إِنَّ فَاعِلًا لَوْ فَعَلَ مِثْلَ ذَلِكَ لَمْ أَرَ عَلَيْهِ إِعَادَةً مِنْ أَجْلِ هَذَا الْحَدِيثِ وَإِنْ كُنْتُ لَا أُحِبُّ لِأَحَدٍ فِعْلَهُ

Ertinya: “Dan sungguh berkata sebahagian ulamak sungguhnya yang berbuat itu kalau dia lakukan seperti yang demikian itu nescaya aku tidak berpendapat dia kena ulangi solat kerana berdalilkan hadis ini sekalipun aku tidak menyukai bagi seorang pun berbuatnya.” (Kitab Al-Istizkar)

Dan menyebut oleh Al-Baji:

وَأَمَّا إنْ كَانَ لِضَرُورَةٍ يَخَافُ عَلَى الصَّبِيِّ هَلَاكًا أَوْ أَمْرًا شَدِيدًا وَلَا يَجِدُ مَنْ يَقُومُ مَقَامَهُ فِيهِ فَإِنَّ إمْسَاكَهُ لَهُ جَائِزٌ فِي الْفَرْضِ وَغَيْرِهِ وَأَصْلُ ذَلِكَ أَنَّ الْعَمَلَ مَمْنُوعٌ فِي الصَّلَاةِ فِي الْجُمْلَةِ إلَّا أَنْ تَدْعُوَ إلَى ذَلِكَ ضَرُورَةٌ

Ertinya: “Dan adapun jika adalah dukung kanak-kanak itu kerana darurah yang ditakuti atas kanak-kanak akan kebinasaan atau pekerjaan yang bersangatan dan tiada didapat orang yang boleh mengambil tempatnya padanya maka bahawasanya memegangnya baginya adalah harus pada ketika darurah dan lainnya. Dan asal yang demikian itu bahawasanya perbuatan yang dilarang di dalam solat pada keseluruhan melainkan bahawa membawa kepada demikian oleh darurah.” (Kitab Al-Muntaqa)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

Tulisan ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus.

Recent Posts

Scroll to Top