Harith, Jezamine akhirnya bercerai talak satu

Harith, Jezamine akhirnya bercerai talak satu

KUALA LUMPUR- Pelawak Harith Iskander, 58, melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Dr Jezamine Lim, 41, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, kira-kira 12.05 tengahari tadi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Jezamine.

Katanya, permohonan perceraian bersama itu dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan dibenarkan Hakim Syariah Siti Noraini Mohd Ali.

Menurut beliau, pasangan tersebut memilih untuk bercerai selepas tiada lagi persefahaman di antara mereka.

Mengenai hak penjagaan anak atau Hadhanah, Akberdin berkata kes akan didengar pada minggu hadapan di mahkamah tinggi.

Sebelum itu, Akberdin memohon prosiding berjalan secara tertutup dengan alasan anak guamnya dan defendan tidak mahu prosiding itu dilakukan dengan kehadiran orang awam.

Menerusi temubual podcast yang disiarkan di Youtube minggu lepas, Harith dan Jezamine mengaku mengambil masa bertahun-tahun sebelum membuat keputusan untuk bercerai.

Malah, mereka turut menjalani pelbagai terapi rumah tangga bagi menyelamatkan bahtera yang dibina sejak 12 Jun 2010 itu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9.- MalaysiaGazette