BIARPUN mencatat kemenangan selesa 4-0 ketika berdepan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mahu kesebelasan pemain bersedia dan kekal konsisten bagi mengharungi beberapa aksi sukar dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Menurut Bidoglio, pemain skuad Harimau Selatan itu perlu kekal fokus di sepanjang perlawanan dalam usaha merealisasikan misi melakar lebih banyak kejayaan yang diidam-idamkan.
“Bagi saya, di sebalik kemenangan, JDT masih perlu terus berkembang kerana masih banyak perlawaan yang akan diharungi.
“Seperti aksi berdepan Sabah FC; ia nyata satu perlawanan sukar terutamanya pada separuh masa pertama namun, pemain dilihat mula bangkit pada separuh masa kedua dan menjaringkan gol.
“Justeru, semangat seperti ini yang kita mahukan dalam usaha untuk pasukan ini terus berkembang pada masa-masa akan datang,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Untuk rekod, JDT menang 4-0 ke atas Sabah hasil jaringan Juan Muniz pada minit ke-51 dan 69 selain Bergson da Silva (minit ke-79 penalti) dan minit ke-83.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu terus gah di puncak Liga Super dangan 49 mata hasil 16 kemenangan, seri sekali setelah mengharungi 17 perlawanan setakat ini.
Sabah FC pula berada pada kedudukan ketiga dengan 29 mata hasil sembilan kemenangan, dua seri dan tewas lima kali setelah mengharungi 16 perlawanan.
Sementara itu, Bidoglio berkata, dia berharap agar bek kental, Feroz Baharudin segera pulih daripada kecederaan dialami.
Katanya, Feroz merupakan antara pemain penting JDT dan kehadirannya dilihat membantu mengukuhkan benteng pertahanan pasukan.
“Kini kita berikan fokus pula kepada benteng pertahanan dan kita mengharapkan agar Feroz segera pulih serta kembali beraksi.
“Bagaimanapun, seperti yang saya katakan sebelum ini, kita memiliki skuad yang besar dan pemain yang berkualiti, Feroz merupakan salah seorang daripada mereka,” katanya.
The Rhinos perlu bangkit
Sementara itu, pengendali Sabah FC, Martin Stano mahu kesebelasan pemain bangkit dan melakar kejayaan pada perlawanan akan datang dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Super.
Kesebelasan Sabah FC. Foto FB Johor Southern Tigers
Menurutnya, biarpun tewas 0-4 kepada JDT pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, ia tidak seharusnya melemahkan semangat mereka untuk mencatatkan kejayaan.
“Kita rasa bangga di sebalik kekalahan ini kerana pemain telah membuktikan mereka mampu beraksi dengan baik hingga berjaya mengekang asakan lawan dengan baik terutamaya pada separuh masa pertama.
“Malah, pemain-pemain dilihat bertindak baik apabila berjaya menutup ruang dengan sebaiknya bagi menyekat kemaraan pemain lawan.
“Bagaimanapun pada separuh masa kedua, pemain dilihat banyak memberikan ruang kepada pemain lawan dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka bagi menjaringkan gol,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Stano berkata, ia merupakan satu perlawanan yang sukar apabila berdepan dengan pasukan handalan seperti JDT.
Bagaimanapun katanya, persediaan rapi telah dibuat dan ini boleh dilihat pada separuh masa pertama apabila pemain-pemain pertahanan tidak memberikan peluang kepada pemain lawan (JDT), untuk bergerak bebas.
“Pemain kita beraksi cemerlang pada separuh masa pertama, namun di separuh masa kedua, JDT dilihat mula memperkemaskan asakan ke pintu gol Sabah FC.
“Hasilnya, mereka berjaya menjaringkan gol. Apa pun, pasukan Sabah FC akan tetap cuba memberikan aksi yang lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.