BANGKOK: Harimau Malaya terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan A Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan apabila kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dan mengatur strategi untuk memburu kemenangan.
Kesilapan penjaga gol, Haziq Nadzli, menjadi punca gol tunggal perlawanan selepas sepakannya dipintas oleh pemain Thailand sebelum Patrik Gustavsson mudah meledak gol buat Gajah Perang pada minit ke-57.
Skuad negara cuba bangkit dengan serangan bertubi-tubi, namun ketumpulan penyudah terus menghantui Harimau Malaya.
Situasi bertambah buruk apabila pemain pertahanan, Adib Abdul Raop, mengalami kecederaan serius akibat pelanggaran dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Kemasukan pemain gantian seperti Fergus Tierney, Najmuddin Akmal, Paulo Josue, Daryl Sham, dan Daniel Amier Norhisham gagal mengubah kedudukan.
Kekalahan ini menyulitkan laluan skuad kendalian Pau Marti Vicente untuk layak ke peringkat separuh akhir.
Malaysia yang kini berada di kedudukan ketiga kumpulan A wajib menang menentang Singapura 20 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mengikut format kejohanan hanya juara dan naib juara layak untuk beraksi di pentas separuh akhir Piala Asean 2024. – UTUSAN