Harimau Malaya 'gigit' Filipina, tempah slot final Pestabola Merdeka

Harimau Malaya 'gigit' Filipina, tempah slot final Pestabola Merdeka

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya membuka lembaran baharu di bawah kendalian jurulatih baharu, Pau Marti Vicente apabila anak buahnya berjaya membenam Filipina 2-1 dalam aksi Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan pasukan negara mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada musim lalu sebelum dikecewakan Tajikistan di aksi kemuncak.

Begitupun kejayaan itu tidak hadir mudah apabila Malaysia perlu bangkit daripada ketinggalan di awal permainan.

Skuad negara yang masih merasai ‘kehilangan’ pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon yang melepaskan jawatannya Julai lalu cuba memburu gol awal namun beberapa percubaan tidak tepat ke sasaran.

Sebaliknya pelawat yang mengharapkan serangan balas mengejutkan penyokong tuan rumah apabila mendahului pada minit 27 selepas hantaran Jefferson Tabinas menyaksikan Feroz Baharudin tertolak bola ke gawang sendiri.

Tersentak dengan gol itu menyaksikan skuad negara yang menghuni tangga 134 dunia menyusun kembali rentak termasuk percubaan dua kali menerusi sepakan percuma Paulo Josue tersasar jauh.

Gol yang diburu akhirnya menjelma di hujung babak pertama hasil rembatan leret Syamer Kutty Abba yang tepat menuju ke sasaran selepas menerima hantaran ke Feroz.

Bersambung babak kedua, Vicente melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Safawi Rasid dan Endrick dos Santos bagi menghidupkan enjin pasukan.

Kelincahan Arif Aiman Hanapi memaksa Matthew Anthony Baldisimo menjatuhkan pemain sayap negara itu dalam kotak penalti dan pengadil tiadapilihan lain apabila terpaksa menghukum pertahanan Filipina itu.

Safawi mudah melaksanakan tugasnya apabila sepakan penaltinya pada minit 72 menggegar jaring pelawat untuk memberi kelebihan buat skuad negara.

Filipina cuba meningkatkan tempo permainan namun Malaysia tampil ampuh mempertahankan kelebihan satu gol sekali gus mara ke final untuk menempah pertemuan bertemu Lubnan di SNBJ Ahad ini.

Sebelum itu di sebelah petang, Lubnan mara ke final selepas berjaya mengenepikan cabaran Tajikistan dengan kemenangan 1-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd