
Cklamovski. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mahukan dua aksi persahabatan untuk memantapkan pasukan sebelum aksi getir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun depan.
Menurutnya, aksi persahabatan itu cukup penting buat pasukan negara tidak ‘lemau’ memandangkan perlawanan kelayakan tersebut berlangsung ketika saingan liga sudah berakhir.
“Kami akan ada perlawanan persahabatan yang akan diumumkan kemudian. Saya rasa satu atau dua perlawanan perlu ada buat kami di laman sendiri.
“Ia kerana situasi agak rumit ketika tempoh saingan liga berakhir dan kami perlu ada perlawanan untuk mendapatkan rentak sebelum bertemu Vietnam,” katanya ketika ditemui pada sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 MFL-FAM-AFL di Kelana Jaya pada Rabu.
Dalam pada itu, Cklamovski mengakui kerja keras dan kesungguhan perlu dipamerkan para pemainnya selain menyifatkan Vietnam bukan lawan mudah dalam usaha memburu tiga mata berharga di laman sendiri.
“Kami akan memasuki kem latihan dengan penuh fokus dan tekad serta bersedia memberikan yang terbaik demi membanggakan rakyat Malaysia sekali lagi melalui corak permainan yang berkualiti dan kerja keras untuk meraih keputusan positif.
“Kami sedar tempoh ini adalah masa rehat liga, jadi persiapan perlu dilakukan dengan teliti. Ia memberikan ruang kepada pemain untuk memulihkan kecergasan sebelum menyertai latihan intensif bersama pasukan.
“Apa pun, menewaskan Vietnam bukan tugas mudah. Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.
“Kami yakin dan bertekad untuk memberikan segalanya di atas padang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia,” ujar jurulatih dari Australia itu.
Pada aksi pertama kelayakan itu, Malaysia bermula langkah kanan apabila menundukkan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim bulan lalu.
Harimau Malaya kini berada di kedudukan kedua kumpulan berkongsi tiga mata dengan Vietnam di tangga teratas manakala Nepal dan Laos masih di tempat terbawah tanpa sebarang mata.