Harimau Malaya ada banyak kerja untuk dilakukan – Cklamovski

Harimau Malaya ada banyak kerja untuk dilakukan – Cklamovski

PENGENDALI skuad bola sepak negara, Peter Cklamovski mengakui banyak kerja yang perlu dilakukan dalam usaha memperkasakan pasukan Harimau Malaya ketika ini.

Menurutnya, asas pasukan itu sudah ada, namun ia perlu diperkemaskan agar perjalanan skuad Harimau Malaya lancar bergerak di atas landasan yang betul.

Beliau yang baru tiba di Malaysia pada Rabu turut mengakui ia satu penghormatan untuk menjadi pengendali skaud Harimau Malaya dan dalam masa sama menggerakkan revolusi yang sedang rancak berlaku ketika ini.

“Kita perlu bekerja keras dan mengharungi langkah demi langkah untuk membina pasukan sekali gus memastikan apa yang dirancang berjalan lancar.

“Kita sudah mempunyai asas untuk mula bekerja dan memperbaiki kelemahan. Semua orang termasuk pegawai dan pemain terpilih mewakili negara akan dipastikan dapat beri yang terbaik dan buat penyokong Malaysia bangga melihat pasukan negara bermain,” katanya selepas majlis pelancaran jersi Harimau Malaya pada Khamis.

Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin bersama Cklamovski semasa pelancaran jersi Harimau Malaya. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin bersama Cklamovski semasa pelancaran jersi Harimau Malaya. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam pada itu, Cklamovski juga menegaskan peluang sama rata akan diberikan kepada semua pemain untuk membuktikan kemampuan sebelum dipilih menyertai pasukan negara.

“Setiap pemain saya telah lihat dan mereka semua ada peluang untuk menambah baik permainan sekali gus mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Tidak kira siapa pun anda, jika anda seorang yang bagus, anda akan mendapat peluang bermain,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melantik Cklamovski sebagai pengendali baharu Harimau Malaya sebagai sebahagian daripada revolusi pasukan negara.

Pengendali kelahiran Australia itu diletakkan sasaran untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi dan memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia.

Scroll to Top