Harimau Malaya acuan Pau Marti

Harimau Malaya acuan Pau Marti

PEMINAT bola sepak perlu memberi peluang kepada Pau Marti Vicente untuk membina dimensi baharu skuad Harimau Malaya selepas dilantik sebagai pengganti sementara Kim Pan-gon yang meletak jawatan Selasa lalu.

Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan berkata, sokongan padu perlu diberikan kepada jurulatih dari Sepanyol itu untuk membentuk skuad mantap mengikut acuannya sendiri bagi mengharungi dua kejohanan dalam tahun ini.

Beliau berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah memberi kepercayaan penuh kepada pengendali berusia 41 tahun itu, mengapa tidak sokongan sama diberikan oleh peminat kerana ia merupakan tunjang kekuatan Harimau Malaya sebelum ini.

“FAM percaya kepada Pau Marti dan sebab itu jawatan tersebut diberikan kepadanya. Jika sebelum ini peminat-peminat memberi sokongan padu kepada Pan-gon dan saya merasakan sokongan serupa perlu diberikan kepada Pau Marti.

“Beri peluang dan ruang kepada Marti. Beri sokongan tanpa berbelah bahagi kerana ini adalah kekuatan Harimau Malaya sejak dahulu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pan-gon pada Selasa meletakkan jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan atas faktor peribadi dan Marti yang merupakan penolong jurulatih dinaikkan pangkat untuk mengisi kerusi panas tersebut.

Ujian pertama Pau Marti ialah saingan Pestabola Merdeka 2024 yang disertai Tajikistan, Lubnan dan Filipina di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September depan.

Selain itu, Harimau Malaya juga akan mengharungi Kejuaraan Piala ASEAN 2024 pada November dan Disember diikuti Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan.

Razman menjelaskan jurulatih itu mempunyai dua pilihan untuk membentuk pasukan baharu skuad kebangsaan iaitu meneruskan legasi yang diterapkan oleh Pan-gon kerana para pemain sudah maklum mengenai corak dan taktikal tersebut.

“Namun Pau Marti juga boleh menggabungkan falsafah Pan-gon dan pengalaman yang dimilikinya ketika menjadi jurulatih di Eropah.

“Malah pemilihan pemain juga terserah kepada Pau Marti sama ada mengekalkan skuad sedia ada atau memanggil pemain muda baharu. Dia seorang jurulatih yang berpengalaman,” katanya.

Pau Marti bukan calang-calang pengendali kerana dia memiliki lesen profesional daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Malah beliau juga sempat bergelar pembantu jurulatih pasukan gergasi Eropah iaitu Barcelona untuk skuad Bawah 18 Tahun (B-18) dan B-19 sebelum hadir ke Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!