hafizithin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Harian Metro memenangi tempat kedua dan ketiga kategori infografik pegun di Anugerah Media Pembinaan CIDB 2024 (AMP 2024) sempena Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini, malam ini.
Wartawan dan artis grafik masing-masing Muhamaad Razis Ismail dan Nor Salim Mohamed Dawam memenangi tempat kedua menerusi tajuk Masjid Unik Nazar Sultan yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM3,000.
Sementara, tempat ketiga dimenangi wartawan dan artis grafik masing-masing Hafiz Ithnin dan Mohd Fahmy Mohd Hashim menerusi tajuk Menara Kerja Raya yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,000.
Wartawan New Straits Times, Aliza Shah Muhammad Shah pula menerima hadiah saguhati bagi kategori media cetak dan portal berita (laporan khas berita) menerusi tajuk siri laporan Home Dreams Crushed yang membawa pulang wang tunai RM1,000.
Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Objektif AMP adalah menggalakkan kandungan kewartawanan dan media massa mengenai industri pembinaan.
Ia termasuk kandungan yang mengupas isu semasa berkaitan industri pembinaan seperti keselamatan, kelestarian alam sekitar, penggunaan teknologi serta topik-topik lain yang berkaitan.
AMP tahun ini adalah kali ketujuh dianjurkan oleh CIDB Malaysia dengan Kementerian Kerja Raya (KKR).
© New Straits Times Press (M) Bhd