Hari raya hampir tiba, bazar Aidilfitri makin rancak

Hari raya hampir tiba, bazar Aidilfitri makin rancak

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Berbaki beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, suasana di pusat beli-belah dan bazar raya semakin meriah dengan kehadiran pengunjung.

Tinjauan di beberapa pusat beli-belah dan bazar Aidilfitri di sekitar daerah ini mendapati orang ramai mula mengambil peluang yang ada untuk membuat persiapan.

Pengguna, Wan Amer Shahril Wan Ab Rahman, 38, berkata, dia dan isteri, Nor Azira Yazid, 37, mengambil kesempatan yang ada untuk membelikan baju raya empat anak mereka memandangkan sebelum ini agak sibuk kerja.

“Kami sekeluarga menetap di Shah Alam, Selangor dan memang tidak sempat untuk buat persiapan di sana kerana saya dan isteri masing-masing sibuk bekerja.

“Jadi apabila pulang ke kampung di Marang untuk menyambut Aidilfitri, kami ambil sedikit masa untuk beli pakaian anak-anak.

“Hari ini, misi kami mencari baju Melayu dan baju kurung untuk mereka dan mujurlah masih ada saiz,” katanya yang bekerja sendiri.

Bagi Nurul Ain Remli, 28, dia bersama suami, Tuan Amer Syafiq Tuan Mohd Shafie, 30, turut mengambil peluang membeli-belah di sini sebelum pulang beraya di kampung di Dungun.

“Sebenarnya kami sudah beli baju raya sebelum ini tapi hari ini datang ke pusat beli-belah ini bagi mencari pakaian lain sebagai tambahan untuk dipakai pada hari yang seterusnya.

“Memang biasanya akan buat persiapan awal tapi saya tetap akan turun ke bazar Aidilfitri dan pusat beli-belah untuk beli beberapa helaian pakaian lagi pada saat akhir.

“Seronok sebenarnya bila buat persiapan akhir ini sebab kita dapat rasa kemeriahan menyambut Syawal itu dengan kehadiran orang ramai yang turut mencari baju raya.

“Walaupun keadaan sedikit sesak tetapi suasana itu normal selain dapat menaikkan ‘mood’ raya itu sendiri,” katanya yang sedang hamil tujuh bulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top