Hari ini disahkan hamil, esok bersalin

Hari ini disahkan hamil, esok bersalin

Beijing: Pelik tapi benar, namun itu terjadi kepada wanita juga ‘blogger’ solekan yang berkongsi pengalamannya melahirkan bayi sehari selepas mengetahui dirinya hamil.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, perkongsian video wanita dari wilayah Jiangsu timur dikenali @tingtingyupengpeng di media sosial utama China itu, ditonton 190 juta kali, lapor Litchi News.

Wanita itu mendakwa mengalami pendarahan serius pada petang 6 November 2024, ketika bermain permainan di telefon bimbitnya.

Keesokan harinya, wanita pergi ke hospital dan diberitahu bahawa dia hamil 34 minggu.

“Saya tidak percaya doktor sehingga saya mendengar bunyi degupan jantung dari mesin ultrabunyi,” kata penulis blog itu dalam video yang dikeluarkan pada 28 Februari.

Pada pagi 8 November lalu, wanita itu ditemani ibunya untuk pergi semula ke hospital dan diberitahu dia hampir melahirkan cahaya mata.

Pembedahan diatur pada petang hari sama, dan bayi lelakinya dilahirkan.

Penulis itu yang tidak mendedahkan nama atau umur dalam laporan itu berkata, dia sama sekali tidak menyedari kehamilannya, terutamanya kerana mengalami haid yang teratur.

Katanya, dia tidak mengalami simptom biasa kehamilan, seperti mual pada waktu pagi, perut bengkak, ketidakstabilan emosi, tanda regangan atau merasai pergerakan janin.

Wanita itu berkata, dia ada menggunakan tiga kit ujian kehamilan dan semuanya negatif.

Oleh kerana percaya dirinya tidak hamil, wanita itu meneruskan gaya hidup lazimnya seperti tidur lewat, merokok, serta minum kopi dan teh susu, untuk melegakan tekanan kerja.

Wanita itu juga menaiki ‘roller-coaster’ pada fasa awal kehamilan dan melakukan lompat lelabah bersama rakannya, malah pernah mengangkat kotak seberat 25 kilogram (kg).

Bayinya dihantar ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) kerana dilahirkan pramatang sebelum dibenarkan keluar selepas 10 hari.

Wanita itu berkata, anaknya kini sihat.

Namun, dia tidak mendedahkan identiti bapa bayi itu, malah tidak jelas sama ada dia sudah berkahwin atau sebaliknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top