Hargai persahabatan

Hargai persahabatan

IKATAN yang rapat antara seseorang dikaitkan dengan hubungan persahabatan. Perasaan sayang dan selesa sesama manusia menyebabkan ikatan itu bertambah akrab.

Malah keindahan persahabatan yang sentiasa hadir dalam setiap warna kehidupan selain menjadi teman saat suka dan duka cukup bermakna.

Seperti sinar mentari yang menyinari hari-hari kelam memberi ilham kepada penghasilan lagu Ada Kamu nyanyian Ika Mustafa.

Karya ini memberi penghargaan terhadap keindahan hidup bersama sahabat sejati yang sentiasa ada ketika diperlukan.

Mengetengahkan genre pop, lagu ini hadir dengan rentak yang segar dan melodi ceria, mencipta suasana membuatkan pendengar terpanggil untuk bergembira dan turut sama menari.

Memulakan kerjaya seni melalui rancangan Lagu Cinta Kita musim ketiga dan berjaya menempatkan diri dalam lima pasangan terbaik, Ika Mustafa kini meneruskan perjalanan seni bersama Alternate Records.

Berkongsi mengenai proses di sebalik penghasilan Ada Kamu, Ika berkata, ia mencipta momen indah.

“Projek ini sangat istimewa kerana saya berpeluang bekerjasama dengan Amir Hasan dalam penulisan lirik dan Mingaling untuk susunan lagu.

“Ming sangat memahami kehendak saya dan kepercayaan yang diberikan kepada saya dan Amir untuk menghasilkan lagu ini sebagai OST (runut bunyi) drama Gadis dan Angan-Angan ialah satu penghormatan besar.

“Kami mengambil masa dua sesi untuk menyiapkan lagu ini. Sesi pertama untuk menulis lagu, merakam demo dan mendapatkan kelulusan pihak produksi, manakala sesi kedua adalah untuk rakaman versi akhir.” katanya.

Menerusi single keempatnya bersama Alternate Records, Ika Mustafa tampil dengan kelainan.

“Lagu ini bukan sekadar lagu pop biasa, tetapi menggabungkan elemen hip hop dan rap untuk memberikan sentuhan unik. Dari segi penceritaan, ia sedikit mencabar kerana tidak meromantisasi hubungan percintaan seperti kebanyakan lagu lain, sebaliknya menonjolkan keindahan dan keakraban dalam hubungan persahabatan.

“Saya berharap pendengar dapat merasai mesej ini, menghargai sahabat mereka dan berkongsi sebagai tanda kasih sayang.” katanya.

Sebagai salah seorang penulis lirik dan komposer untuk lagu ini, Amir Hasan berkongsi bahawa inspirasi lagu ini terhasil secara spontan melalui sesi ‘freestyle’ di studio bersama rakan-rakan.

“Lagu ini mempunyai tenaga dan bunyi unik yang jarang didengar dalam pasaran muzik sekarang. Saya harap lagu ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi pendengar juga dapat mengambil mesej positif daripada lagu ini,” katanya.

Mengenai pengalaman bekerjasama dengan Ika Mustafa pula Amir berkata, dia melihat bakat seni penyanyi itu yang mempunyai potensi besar.

“Ika ialah penyanyi berbakat, ceria, bertenaga dan penuh fokus. Vokalnya membawa tenaga dan keunikan tersendiri kepada lagu ini. Walaupun kami mengambil masa lama sedikit untuk mencari melodi tepat, Ika memberikan kerjasama sangat baik, menjadikan proses rakaman lagu ini lebih lancar dan mudah,” katanya.

Lagu Ada Kamu kini boleh didengar di iTunes atau aplikasi penstriman seperti Spotify dan YouTube Music!

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top