am@hmetro.com.my
Marang: Harga tembikai jatuh menjunam kepada RM1 sekilogram menyebabkan pekebun, Azahar Zakaria, 54, bimbang tidak mendapat pulangan modal selepas mengeluarkan RM10,000 untuk tanaman itu.
Azahar yang sebelum ini bergelar nelayan selama lebih 30 tahun, mengambil inisiatif menanam tembikai boci di Kampung Alor Ketitir, Merchang, seluas 0.8 hektar bagi mencari sumber pendapatan ketika musim tengkujuh.
Namun, Azahar berkata, kejatuhan harga pasaran menyebabkan dia berharap pemborong dapat membeli hasil tanamannya bagi menampung kos dan memastikan kesinambungan usahanya dalam bidang pertanian.
“Harga terkini di kebun jatuh kepada RM1 berbanding RM2 sebelum ini bagi setiap kilogram, jika ada pemborong yang sudi membantu saya membeli dengan harga sekurang-kurangnya RM1.30 sekilogram, saya begitu berterima kasih.
“Sekurang-kurangnya, modal yang sudah saya keluarkan dapat kembali selain sebagai modal untuk menanam kembali tembikai selepas ini,” katanya ketika ditemui.
Azahar yang pertama kali menceburi bidang pertanian dibantu seorang lagi nelayan, Mohd Fauzi Ismail, 49, mengusahakan tembikai boci.
© New Straits Times Press (M) Bhd