Harga minyak mentah tidak menentu berikutan dasar Trump – BMI

Harga minyak mentah tidak menentu berikutan dasar Trump – BMI
Harga minyak mentah tidak menentu berikutan dasar Trump – BMI

BMI menjangka harga minyak mentah mengalami ketidaktentuan yang ketara dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang berikutan pasaran mengambil kira impak dasar baharu Trump terutama berkenaan langkah tarif. Gambar hiasan

BMI, syarikat Fitch Solutions menjangka harga minyak mentah mengalami ketidaktentuan yang ketara dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang berikutan pasaran mengambil kira impak dasar baharu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terutama berkenaan langkah tarif.

Menurut BMI, selepas mencatat kenaikan pada tahun baharu, harga minyak mentah merosot mendadak dalam tempoh beberapa minggu pertama pentadbiran Trump.

“Minyak mentah Brent bulan hadapan pada masa ini diniagakan di bawah AS$76 (RM336) setong, setelah menyusut nilai lebih tujuh peratus daripada paras tertinggi setakat ini pada tahun ini iaitu AS$82 (RM362) setong semasa ditutup pada 15 Januari,” kata BMI dalam kenyataan pada Khamis.

BMI berkata, walaupun beberapa langkah tarif boleh mewujudkan tekanan meningkat terhadap harga minyak, kesan keseluruhannya dijangka bersifat menurun berikutan impak buruk yang berpotensi berlaku terhadap ekonomi global dan kesediaan Trump untuk mengehadkan impaknya terhadap bekalan.

“Pelabur perlu menyeimbangkan kesan harga tarif dengan implikasi pendekatan yang lebih tegas terhadap penguatkuasaan sekatan, dengan Trump memeterai memorandum baru-baru ini yang mengembalikan kempen tekanan maksimum terhadap Iran,” katanya.

Sementara itu, BMI mengekalkan unjuran harga minyak Brent pada purata AS$76 (RM336) setong pada 2025, susut daripada AS$80 (RM354) setong.

“Pandangan asas kami sebahagian besarnya tidak berubah daripada harga minyak bulan lepas, dan dalam analisis ini, kami akan mengehadkan perbincangan mengenai landskap yang semakin berkembang dalam sekatan dan tarif AS berkaitan minyak,” katanya.

Baru-baru ini, Trump mengumumkan tarif 25 peratus terhadap Mexico dan Kanada serta tarif 10 peratus kepada China.

Bagaimanapun, pada 3 Februari 2025, Presiden AS mengumumkan tarif ke atas Mexico dan Kanada akan ditangguhkan selama sebulan sementara menunggu rundingan selanjutnya.

Menurut BMI, faktor di sebalik penangguhan itu tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun pengumuman awal itu mungkin bertujuan ‘mengejutkan’ rakan perdagangan utama AS yang memberi isyarat kepada kesediaan Trump untuk terlibat dalam perang perdagangan secara besar-besaran bagi mencapai objektifnya. – Bernama

Scroll to Top