Harga lelong banglo milik Sajjad turun RM4.21 juta

Harga lelong banglo milik Sajjad turun RM4.21 juta

KUALA LUMPUR – Gara-gara masih tiada pembida, harga kediaman milik usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang sedang dalam proses lelong diturunkan kepada RM4.21 juta.

Perkembangan itu dikongsi seorang ejen hartanah dikenali sebagai Ishaq Marazi menerusi hantaran di Facebook.

“Hari itu lelong RM4.68 juta tapi tiada pembida. Sekarang bank sudah kurangkan harga lelong kepada RM4.21 juta.

“Dulu selepas berhijrah ke Australia, Nur Sajat nak jual rumah ini RM9 juta,” tulisnya.

Menurut individu itu,, banglo dua tingkat yang terletak di Seksyen 10 Petaling Jaya itu mempunyai keluasan 11,093 kaki persegi, enam bilik dan tujuh bilik air.

“Tarikh lelongan seterusnya adalah pada 2 September depan,” jelasnya.

Dua tahun lalu, kediaman tersebut pernah cuba dilelong Sajat yang berhijrah ke Australia sejak Oktober 2021 pada harga RM9.5 juta, namun tiada pembeli.

Media turut melaporkan, Nur Sajat mengesahkan mengenai lelongan itu menerusi rakaman video yang dimuat naik di TikTok.

“Betul, rumah saya memang dilelong. Saya sudah duduk sini (Australia) bukan di sana (Malaysia), jadi lelonglah. Memang betullah tu nak kena lelong,” katanya.

Menurutnya, semua harta miliknya juga sudah tiada termasuk kereta dan perniagaan yang ditinggalkan di sini.

Sajat kemudian menawarkan harga baharu banglo mewahnya itu iaitu RM7 juta, sebelum diturunkan lagi kepada RM4.68 juta. – MalaysiaGazette