Harga lantai RM1,300 belian setiap tan padi ditetapkan kerajaan sangat rendah – Sanusi

Harga lantai RM1,300 belian setiap tan padi ditetapkan kerajaan sangat rendah – Sanusi

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kedah berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) segera menyelesaikan isu harga lantai belian padi yang membelenggu pesawah ketika ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, harga lantai yang ditetapkan kerajaan iaitu RM1,300 setiap tan sangat rendah berbanding kos pengeluaran yang ditanggung petani, dengan kenaikan kos input pertanian serta upah jentera.

“Dengan harga RM1,300 setiap tan, ia berada di bawah kos pengeluaran kerana kos purata untuk menghasilkan padi per hektar dianggarkan sekitar RM1,600.

“Petani perlu menunggu selama enam bulan untuk menuai hasil mereka. Pada pandangan saya, permintaan petani untuk harga pembelian RM1,800 adalah munasabah kerana kadar RM1,300 hampir tidak menampung kos mereka,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pembelian padi yang rendah di kilang menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai kerana pengguna kini sudah terbiasa membayar harga tinggi untuk beras import.

“Orang ramai biasa membeli 10 kilogram beras pada harga lebih RM40 disebabkan kekurangan beras putih tempatan. Jadi, mengapa harga pembelian padi masih RM1,300?

“Pada musim menuai yang lalu, kilang mampu membeli padi pada harga RM1,800. Kenapa mereka boleh beli pada harga RM1,800 ketika itu? Adakah ia kerana mereka berniat untuk menjualnya sebagai beras import?” katanya.

Justeru, Muhammad Sanusi menggesa kementerian mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu yang dihadapi pesawah di seluruh negara.

“Saya berharap menteri yang bertanggungjawab akan menimbangkan perkara ini dengan serius. Beliau juga boleh berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi untuk menyelesaikan isu ini.

“Sebelum ini, ada yang bertanya apa Menteri Besar buat mengenai isu ini. Ini bukan di bawah bidang kuasa saya tetapi di bawah kuasa kementerian. Kalau beri kuasa itu kepada saya, punggah… jadi saya harap kementerian itu ambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) membantah penetapan harga belian padi RM1,300 per tan yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob, berkata penetapan harga itu adalah tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat ketika ini.

Kedah adalah pengeluar utama beras putih tempatan yang menyumbang lebih 40 peratus daripada pengeluaran nasional.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top