WASHINGTON – Pengguna iPhone di seluruh dunia mungkin perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga yang ketara ekoran keputusan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terhadap negara-negara tertentu yang boleh menyebabkan harga iPhone meningkat antara 30 hingga 43 peratus, lapor Reuters baru-baru ini.
Sebahagian besar iPhone yang dijual di pasaran AS masih dikeluarkan di China, yang kini dikenakan tarif sebanyak 54 peratus.
Jika tarif ini berlanjutan, Apple berdepan pilihan sukar sama ada menanggung kos tersebut atau memindahkan kos berkenaan kepada pengguna.
Menurut analisis daripada Rosenblatt Securities, model iPhone 16 yang termurah yang kini dijual pada harga AS$799 (RM3,600) di pasaran AS, dijangka boleh meningkat sehingga AS$1,142 (RM5,130) sekiranya tarif tersebut dipindahkan kepada pengguna.
Model iPhone 16 Pro Max dengan paparan 6.9 inci dan storan 1 terabyte yang kini dijual pada harga AS$1,599 (RM7,180) juga berpotensi meningkat kepada lebih AS$2,300 (RM10,330).
Saham Apple mencatatkan penurunan sebanyak 9.3 peratus pada hari Khamis, mencatatkan penurunan terbesar sejak Mac 2020.
Apple, yang menjual lebih daripada 220 juta unit iPhone setiap tahun, berdepan cabaran dalam mengekalkan daya saing di pasaran apabila tarif import ini memberi kesan langsung terhadap kos pengeluaran.
Penganalisis menyatakan bahawa syarikat itu mungkin akan terpaksa menaikkan harga produknya, terutama selepas iPhone 16e yang dilancarkan pada Februari lalu dengan harga AS$599 (RM2,690), berkemungkinan akan melambung kepada AS$856 (RM3,850).
Terdahulu, Trump telah mengenakan tarif tinggi terhadap banyak produk yang diimport dari China, dengan tujuan untuk menggalakkan syarikat-syarikat AS memindahkan pengeluaran mereka ke negara lain seperti Mexico atau Amerika Syarikat sendiri.
Walaupun pada masa lalu Apple mendapat pengecualian daripada tarif ini, kali ini, Trump tidak memberikan pengecualian kepada syarikat teknologi terbesar di dunia itu.
Menurut Barton Crockett, penganalisis dari Rosenblatt Securities, “Isu tarif China ini berlaku bertentangan dengan jangkaan kami bahawa Apple akan diperlakukan lebih ringan seperti sebelum ini.”
Walaupun sebahagian pengeluaran iPhone telah dipindahkan ke negara seperti Vietnam dan India, tarif yang dikenakan ke atas kedua-dua negara ini juga memberi impak negatif kepada harga jualan iPhone.
Vietnam dikenakan tarif 46 pertatus, manakala India pula menerima tarif sebanyak 26 peratus. Untuk menampung tarif tersebut, Apple berkemungkinan perlu menaikkan harga sekurang-kurangnya 30 peratus secara purata, menurut analisis dari Counterpoint Research.
Kenaikan harga yang ‘tajam’ ini berisiko menurunkan permintaan terhadap iPhone, memberi kelebihan kepada pesaing utama Apple, Samsung Electronics yang berasal dari Korea Selatan. Korea Selatan menerima tarif yang lebih rendah berbanding China, yang menyaksikan kebanyakan pengeluaran iPhone berlaku di sana.
Rosenblatt Securities meramalkan bahawa syarikat Apple mungkin mengalami kerugian sebanyak AS$40 bilion (RM179 bilion) jika tarif ini berterusan, dan perbincangan antara Apple, China, serta Rumah Putih dijangka akan berlangsung dalam waktu terdekat.
Walaupun begitu, penganalisis menyatakan bahawa iPhone 17 yang dijangka dilancarkan pada musim luruh tahun ini mungkin dapat membantu Apple menghadapi cabaran ini.
“Walaupun sukar untuk membayangkan Trump akan menyebabkan kerosakan terhadap ikon Amerika seperti Apple, keadaan ini memang mencabar bagi syarikat tersebut,” tambah Barton Crockett.
Apple kini berdepan cabaran besar dalam mengekalkan kedudukan pasaran dan daya saingnya di tengah-tengah ketegangan tarif antara AS dan China. Jika harga iPhone meningkat lebih tinggi, ini boleh memberi impak besar kepada permintaan dan membolehkan Samsung mendapat kelebihan di pasaran. -Agensi