Harga emas melonjak ke paras tertinggi baharu sepanjang masa pada AS$3,052 seauns. Gambar hiasan
NIAGA hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih kukuh pada Khamis, menjejaki pasaran emas global apabila harga melonjak ke paras tertinggi baharu sepanjang masa pada AS$3,052 seauns.
Peningkatan itu adalah berikutan keputusan untuk Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadarnya.
Ketika ditutup, kontrak semerta bulan Mac 2025 meningkat kepada AS$3,047.20 setiap auns troy daripada AS$3,033.30 pada Rabu, manakala April 2025 menokok kepada AS$3,057.50 daripada AS$3,043.60 sebelumnya.
Kontrak Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 mengukuh kepada AS$3,067.50 setiap auns troy daripada AS$3,053.60 setiap auns troy pada Rabu.
Jumlah dagangan melonjak kepada 65 lot daripada 15 lot semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 106 kontrak daripada 66 kontrak sebelumnya.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 19 Mac, harga emas fizikal berada pada AS$3,027.55 setiap auns troy. – Bernama