Harga daging lembu di Kelantan termurah dalam tempoh 15 tahun

Harga daging lembu di Kelantan termurah dalam tempoh 15 tahun

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Harga daging lembu di Kelantan direkodkan paling murah dalam tempoh 15 tahun iaitu serendah RM18 hingga RM25 sekilogram (kg) sejak empat bulan lalu.

Harga itu jauh lebih murah berbanding sebelum ini sekitar RM32 hingga RM34 sekilogram, manakala harga daging luar Kelantan pula sekitar RM35 hingga RM40 sekilogram.

Penurunan harga daging itu dikatakan berpunca daripada permintaan lembu dari Thailand yang berkurangan dan hanya bergantung kepada permintaan dari Malaysia.

Pengusaha lembu, Marzuki Mohamad, 45, berkata dia yang sudah berniaga lembu sejak 20 tahun lalu juga tidak menyangka harga kini jatuh mendadak seperti ketika dia mula berniaga.

“Ketika mula berniaga pada 2005, harga daging ketika itu sekitar RM15 hingga RM18 dan apa yang saya boleh katakan harga sekarang adalah paling murah dalam tempoh 15 tahun lalu.

“Ini semua bukan kerana lembu di Malaysia banyak, sebaliknya pembekal di Thailand menurunkan harga disebabkan permintaan dari beberapa negara termasuk China berkurangan.

“Mereka hanya bergantung kepada Malaysia dan disebabkan itu harga turun kerana pelanggan mereka kini hanya dari Malaysia.

“Jika sebelum ini harga yang dijual RM13 bagi sekilogram dan diturunkan kepada RM10.

“Jumlah itu banyak berkurangan menyebabkan harga daging di Kelantan murah.

“Harga lembu yang dijual di Thailand bergantung kepada berat dan seekor lembu sekitar 400 kilogram,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, walaupun harga murah namun permintaan daripada pembeli masih sama memandangkan kesemua peniaga menurunkan harga.

“Macam saya sejak dulu hingga sekarang tiga ekor sehari. Cuma untuk peniaga yang menjual RM18 hingga RM20, memang pembeli akan beratur.

“Cuma kebanyakan peniaga menjual sekitar RM25 sekilogram,” katanya.

Peniaga, Mohd Haikal Farhan Mazlan, 21, berkata dia meneruskan perniagaan yang diusahakan ayahnya sebelum ini turut memaklumkan harga daging mula dijual murah sejak empat bulan lalu.

Katanya, ini kerana lembu yang diperoleh dari Thailand itu dibeli dengan harga lebih murah menyebabkan semua peniaga menjualnya dengan harga yang murah.

“Setiap hari saya menjual seekor lembu bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari dan permintaan meningkat memandangkan lebih murah.

“Harga daging dan tulang saya jual sama sahaja iaitu sekitar RM25 sekilogram,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top