‘Harap keadilan untuk Elly, anak yang baik, tenang’ – Ibu

‘Harap keadilan untuk Elly, anak yang baik, tenang’ – Ibu

KANGAR: Raut wajah Fadzilah Bakar,61, kelihatan tenang, seketika air matanya mengalir mengenang kejadian yang menimpa anak sulungnya yang maut dengan 12 kesan tetakan menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Taman Behor Gonchar, di sini, kelmarin.

Tidak ada apa yang diharapkan ibu kepada bekas pelumba negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, itu selain menuntut agar keadilan dapat ditegakkan buat anaknya itu.

Dalam masa sama, Fadzilah juga yakin anaknya itu tidak akan bertindak di luar kawalan memandangkan Allahyarham Elly Idzlianizar merupakan seorang anak yang sangat baik, tenang dan tidak panas baran.

Fadzilah berkata, sebelum kejadian, dia sempat berbual dengan anaknya itu yang memaklumkan ingin keluar untuk ke kedai berhampiran rumah mereka di Taman Fauziah, di sini kira-kira pukul 9 malam.

Katanya, kebiasaan, Elly Idzlianizar akan membawa anak perempuannya berusia sembilan tahun untuk bersama-sama ke kedai berhampiran, namun pada hari kejadian, dia hanya keluar seorang diri sahaja tanpa menunjukkan sebarang perubahan.

“Sebelum keluar itu, dia (Elly) ada maklumkan nak pergi ke kedai di depan rumah, malah saya juga sempat iring dia berjalan sehingga ke kereta sebelum menutup pintu pagar.

“Pada waktu itu, memang saya lihat dia tidak membawa sebarang senjata mahupun parang di dalam kereta selain langsung tidak berada dalam keadaan marah-marah. Selepas beberapa jam, saya kemudiannya dihubungi oleh adik Allahyarham yang bertanyakan mengenai keberadaan Elly.

“Saya maklumkan pada adik Allahyarham yang Elly tiada di rumah dan adiknya itu terus menangis lalu memaklumkan kepada saya mengenai kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan, bekas pelumba negara yang pernah membawa nama Malaysia ke peringkat Asia dan antarabangsa, Elly Idzlianizar disahkan maut dengan 12 kesan tetakan menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Taman Behor Gonchar, di sini.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu berpunca daripada satu pergaduhan sehingga membawa kepada kematian tersebut.

Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan teruk susulan kecederaan tetakan pada bahagian tangan dan badan. Susulan itu, polis telah menahan tiga suspek berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun.

Tambah Fadzilah, dia amat terkejut ketika mengetahui mengenai kejadian itu memandangkan Elly Idzlianizar merupakan seorang anak yang baik dan jarang bergaul selepas berdepan komplikasi saraf akibat kecederaan dalam perlumbaan beberapa tahun lalu.

Katanya, Elly Idzlianizar juga telah menetap bersamanya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan selepas setahun, dua anaknya turut tinggal bersama.

“Selepas tamat karier dalam perlumbaan, dia pernah melakukan beberapa pekerjaan termasuk melatih pelumba baru, berniaga dan beberapa lagi. Malah, rutinnya di sini juga adalah menghantar anak ke sekolah, pergi ke masjid dan duduk di bilik membaca al-Quran tanpa menganggu orang lain,” katanya.

Dia berharap agar siasatan telus dapat dijalankan bagi membela nasib anaknya selain mendapat pembelaan sewajarnya.

“Allahyarham dan suspek ini memang kenal antara satu sama malah saya juga pernah berjumpa mereka namun saya tidak menyangka kejadian sebegini boleh berlaku,” katanya._UTUSAN

Scroll to Top