Hanya tinggal tangga, rumah Allahyarham Sudirman kini dipenuhi semak samun

Hanya tinggal tangga, rumah Allahyarham Sudirman kini dipenuhi semak samun

Siapa yang tidak mengenali selebriti yang pernah mendapat jolokan penghibur nombor satu Asia iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Kehebatannya di atas pentas menghiburkan para peminat bukan asing lagi kerana setiap lapis masyarakat tanpa mengira kaum dan usia menggemari beliau.

Namun, pada usia 37 tahun, beliau telahpun menghadap Ilahi selepas dikhabarkan kurang sihat dan dimasukkan ke hospital.

Akan tetapi karya-karya beliau masih lagi diingati dan lagu yang pernah dipopularkan oleh allahyarham masih diputarkan di radio serta menjadi kegemaran sesetengah masyarakat.

Walau bagaimanapun, menerusi perkongsian Facebook rasmi menggunakan nama arwah sebagai satu cara mengenang seniman hebat ini telah berkongsi keadaan terkini rumah allahyarham di kampung halamannya.

Menurut muat naik tersebut, rumah yang terletak di Kg. Tok Embun, Temerloh, Pahang itu sudah hampir lenyap dan hanya tinggal tiang serta tangga sahaja selepas mengalami kebakaran pada tahun 2008.

Persekitarannya juga sudah dipenuhi semak samun serta tumbuhan menjalar seperti langsung tidak diuruskan oleh mana-mana pihak sedangkan beliau adalah satu nama besar dalam industri seni Tanah Air.

Dalam penulisan di Facebook berkenaan lagi, belum ada sebarang usaha dari pihak berwajib untuk memulihara kembali rumah Legenda Seni tanah air ini untuk dijadikan Memorial atau Pustaka Peringatan.

Sehubungan dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet yang meninggalkan komen diruangan Facebook berkenaan mengakui sedih melihat keadaan rumah arwah.

Mereka juga merasakan pihak berwajib perlu mengambil langkah yang lebih baik sebagai salah satu cara menghargai penghibur yang cukup berjasa di Malaysia satu ketika dahulu seperti yang dilakukan kepada rumah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Scroll to Top