Hanya penalti pisahkan Melaka, JDT

Hanya penalti pisahkan Melaka, JDT

sukanteam@nstp.com.my

MELAKA: Pengendali Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan tetap memberi pujian kepada pemainnya yang beraksi dengan begitu gigih walaupun akhirnya tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Baginya kesilapan yang berlaku pada minit pertama menyebabkan lawan menghasilkan jaringan menerusi sepakan penalti yang memisahkan usaha Melaka sekurang-kurang meraih satu mata.

Apapun, keputusan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada (JDT) ketika aksi baru bermula turut menerbitkan ketidak puasan hati peminat.

Penalti terbabit dihadiahkan selepas pemain pertahanan Akmal Zahir didakwa mengasari Gonzalo Cabrera dalam kotak penalti yang kemudiannya disempurnakan Bergson da Silva untuk gol tunggal perlawanan.

Zainal berkata, keputusan sepakan penalti menimbulkan tanda tanya bagaimanapun dia akan meneliti semula rakaman sebelum berbincang dengan pengurusan tindakan selanjutnya sambil tidak membuat sebarang tuduhan melulu.

“Bagi saya inilah bola sepak, dalam 90 minit perlawanan berlalu kita melepaskan gol 30 saat memberi sepakan penalti yang menjadi tanda tanya di situ.

“Sama ada penalti atau tidak, saya kena buat kajian lagi dan melihat dahulu walaupun kesilapan dikatakan datang daripada pemain saya.

“Justeru, kita perlu lihat secara keseluruhan sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” kata Zainal.

Menurutnya, pujian perlu diberikan kepada pemain selepas jaringan terbabit kerana mereka menunjukkan permainan begitu bersemangat dan tidak mengenal erti letih walaupun berdepan jadual yang padat.

Zainal berharap pemain akan bangkit semula untuk aksi seterusnya kerana setiap perlawanan amat penting untuk mengelak keciciran sebarang mata.

Katanya, pemain juga perlu sedar mereka kini berada dalam prestasi persefahaman yang amat baik sebelum berdepan Penang FC Sabtu ini.

Sementara itu pengendali JDT Benjamin Mora berkata, perlawanan dilihat amat kompetitif menerusi tentangan daripada pasukan tuan rumah yang berusaha untuk memberi tekanan kepada pasukannya.

“Apa yang penting pemain mampu mengumpul tiga mata dalam perlawanan berkenaan yang bukan mudah kerana pemain terlalu letih susulan jadual padat.

“Malah pemain tetap memberi tekanan agresif selepas jaringan berkenaan termasuk di babak kedua walaupun gagal menambah jaringan,” kata Mora.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top