hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Hanya kediaman penduduk yang mengalami kerosakan kurang 20 peratus susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini dibenarkan diduduki ketika masa ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, rumah yang dibenarkan masuk kebanyakannya terletak melebihi 150 meter dari lokasi letupan.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan rumah dalam kategori selamat dihuni itu, mendapati hanya mengalami kerosakan kecil seperti cermin tingkap pecah dan kesan bahang kecil di bumbung dan siling.
“Melalui persetujuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, bagi kediaman dengan kerosakan minor atau tiada kerosakan, kita benarkan penghuni untuk masuk.
“Bagaimanapun yang membabitkan kerosakan besar, tidak sesuai untuk masuk kecuali selepas penilaian lanjut terhadap keutuhan struktur dan pembaikan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya melakukan penilaian keselamatan itu bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kontraktor pendawaian elektrik.
“Pemeriksaan secara visibiliti terhadap unit rumah terjejas kebakaran membabitkan permukaan struktur bangunan dinding, lantai, bumbung, dan rangka bangunan selain terhadap sistem pendawaian elektrik,” katanya.
Nor Hisham berkata, setakat ini pihaknya berpendapat tidak ada keperluan untuk mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) baharu bagi kategori rumah berkenaan.
Katanya, sijil berkenaan diperlukan sekiranya terdapat perubahan besar struktur rumah seperti bangunan baharu.
Terdahulu media melaporkan, penduduk di 85 rumah yang terjejas susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, bermula malam semalam selepas ia sudah dipastikan selamat.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Datuk Seri Amirudin Shari dipetik berkata, ia membabitkan rumah di Taman Harmoni selepas dipastikan selamat oleh JBPM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak utiliti lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd