am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini mendedahkan hanya empat barangan segar dikesan mengalami kenaikan harga hingga 10 peratus, dalam tempoh Julai berbanding Jun tahun ini.
Ia adalah betik biasa yang naik dari harga RM4.48 ke RM5.57 sekilogram, manakala udang putih, naik RM36.67 ke RM42.29 satu kilogram (kg), oren valencia naik RM1.24 ke RM1.43 sebiji dan jambu batu tanpa biji naik RM9.65 ke RM10.81 satu kg.
Rafizi berkata, barangan segar itu antara 238 barang yang mengalami kenaikan harga.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat 177 barang yang turut mengalami harga turun manakala 59 barang lagi tidak berubah harga.
“Ada 20 barangan segar yang turun harga melebihi 10 peratus antaranya, timun, kacang buncis, cili api, kubis bulat, daging kambing bebiri, limau kasturi, sawi, anggur merah, lada benggala, kacang panjang, ayam bersih, kailan, saderi, kacang botol, terung bulat, kubis bunga dan limau nipis.
“Ayam bersih turun harga dari RM9.62 kepada RM8.54 per kg,” katanya dalam laman X selepas mendapat laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau membuat ciapan itu selepas mendengar keluhan di media sosial mendakwa harga barang semakin melambung meskipun kadar inflasi negara stabil di bawah paras dua peratus, terendah sejak beberapa tahun ini.
“Kata mereka, kadar inflasi itu tidak betul sebab dimanipulasi. Saya pun kadang-kadang termakan juga, kot lah laporan inflasi yang diberikan ni tipu saya.
“Tetapi saya yakin pegawai-pegawai kerajaan tak tipu saya bila mereka muktamadkan laporan inflasi setiap bulan, saya rasa kena semak juga. Jadi saya dapatkan laporan terperinci dari KPDN untuk menunjukkan perbandingan harga barang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd