KEPERCAYAAN kepada hantu, entiti atau makhluk halus bukanlah perkara asing dalam masyarakat bahkan sebahagiannya ada yang sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit semata-mata untuk ‘berjumpa’ dengannya.
Walaupun negara telah melalui pelbagai kemajuan dan kemodenan, kepercayaan tersebut masih menebal dalam masyarakat sehinggakan industri perfileman negara membuat keuntungan dengan kerap menerbit dan menayangkan kisah-kisah berkaitan hantu ini kepada masyarakat.
Kesan daripada kepercayaan berlebihan dan ketaasuban kepada entiti tersebut, ramai yang mula mengorak langkah mencari dan mengejar makhluk halus serta menjadikannya sebagai kandungan atau content di media sosial bagi meraih perhatian masyarakat.
![PELBAGAI hantu digambarkan dalam masyarakat, namun hakikatnya ia hanyalah angkara jin dan syaitan. Foto CANVA](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/06/2996921.jpg)
PELBAGAI hantu digambarkan dalam masyarakat, namun hakikatnya ia hanyalah angkara jin dan syaitan. Foto CANVA
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, antara perkara yang wajib untuk diimani oleh setiap Muslim adalah beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, hari hisab (perhitungan) dan sebagainya.
“Antara perkara ghaib yang wajib juga untuk diimani adalah kewujudan jin dan syaitan.
“Kewujudan jin dan syaitan disebutkan ALLAH dalam al-Quran dan antaranya terdapat dalam kisah Nabi Sulaiman AS,” jelasnya dalam artikel Al-Afkar #85: Adakah hantu-hantu yang digambarkan masyarakat itu wujud?
Antara dalil kewujudan mereka adalah melalui firman ALLAH SWT dalam ayat ke-17 surah an-Naml:
“Dan dihimpukan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya daripada jin dan manusia serta burung, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.”
Tambahnya, ALLAH SWT turut menceritakan mengenai kewujudan syaitan yang sentiasa menjadi musuh nombor satu manusia:
“Wahai anak-anak Adam, janganlah kamu diperdaya oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua-dua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat (yang sebelum itu tertutup)” (Surah al-A’raf: 27)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar, ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud.
“Ini dinyatakan ALLAH SWT dalam ayat sama: ‘Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan kamu tidak dapat melihat mereka’,” tambahnya.
Jelasnya, gambaran-gambaran hantu yang sering digambarkan khususnya oleh masyarakat kita melalui filem mahupun drama seperti puntianak, pocong dan sebagainya adalah sesuatu yang tidak wujud.
“Ia tidak lain tidak bukan merupakan satu perkara yang berkaitan dengan jin dan syaitan.
“Mereka diberikan kelebihan oleh ALLAH untuk berubah-ubah bentuk dan menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk tertentu untuk menakutkan manusia,” hurainya.
![PERBANYAKKAN ibadah seperti membaca al-Quran dan zikir yang boleh menjadi pendinding kepada gangguan jin dan syaitan. Foto CANVA](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/06/2996918.jpg)
PERBANYAKKAN ibadah seperti membaca al-Quran dan zikir yang boleh menjadi pendinding kepada gangguan jin dan syaitan. Foto CANVA
Ujarnya, Sheikh Muhammad Asy-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada manusia dan haiwan.
“Ia seperti mana syaitan menyerupai Suraqah bin Malik bin Ja’syam dan mendatangi orang musyrikin Quraisy ketika mereka mahu keluar ke medan Badar,” jelasnya lagi.
Walaupun syaitan dan jin boleh berubah bentuk atau merupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing, akan tetapi perlu diingat bahawa penyerupaan tersebut tidak mampu langsung untuk memberikan mudarat kepada kita, ujarnya.
“Mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada ALLAH SWT.
“Jin dan syaitan yang menjadi ‘hantu’ tidak akan sesekali mampu memberi mudarat apatah lagi mencederakan atau membunuh manusia,” jelasnya.
Tambahnya, pada hakikatnya penyerupaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan melalui hantu-hantu yang digambarkan masyarakat seperti puntianak, langsuir, pocong dan lain-lain hanyalah untuk menakut-nakutkan manusia.
“Ia bukannya berasal daripada roh orang mati seperti mana yang dipercayai sebahagian masyarakat kita.
“Di samping itu, kita tidak dibenarkan untuk menokok tambah atau berlebihan dalam perkara yang melibatkan alam ghaib.
“Berhentilah mempercayai khurafat dan tahyul yang sering berlegar dalam masyarakat,” pesannya.
Sementara itu, timbul persoalan lain, apakah hukum mencari hantu atau paranormal ini? Apakah dibolehkan untuk membuat content daripada perbuatan tersebut?
Maktabah al-Bakri dalam membahaskan perkara ini menjelaskan, antara perkara ghaib yang wajib kita imani dalam Islam adalah kewujudan jin dan syaitan.
“Namun dari sudut penyerupaan, Syeikh Sulaiman Al-Asyqar menyatakan bahawa kadangkala syaitan mendatangi manusia bukan dengan membisikkan perkara waswas akan tetapi ia juga boleh datang menyerupai manusia.
![HENTIKAN perkara yang tidak bermanfaat seperti mencari hantu, sebaliknya banyak lagi perkara yang boleh menyebabkan diri dekat dengan Tuhan seperti merenung kebesaran ciptaan-NYA. Foto CANVA](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/06/2996919.jpg)
HENTIKAN perkara yang tidak bermanfaat seperti mencari hantu, sebaliknya banyak lagi perkara yang boleh menyebabkan diri dekat dengan Tuhan seperti merenung kebesaran ciptaan-NYA. Foto CANVA
“Kita boleh dengar suara tapi tidak nampak tubuhnya. Ia juga boleh menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk yang pelik,” jelasnya dalam artikel bertajuk #1735: Hukum aktiviti paranormal/cari hantu yang disiarkan sebelum ini.
Tambahnya, berbalik kepada soalan berkenaan, pihaknya menasihatkan agar sebaik-baiknya jangan melakukan perkara-perkara mencari hantu tersebut.
“Buatlah perkara yang lebih bermanfaat seperti membaca al-Quran, hadiri majlis ilmu, bersukan dan seumpamanya.
“Membuat perkara yang berunsur mistik secara berlebihan dikhuatiri akan membawa kepada kesyirikan, ketahyulan dan khurafat.
“Semoga ALLAH memelihara akidah kita daripada dicemari syirik dan khurafat,” katanya.