Kuala Lumpur: Datuk Hans Isaac sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuat kuasa hari ini.
Berita gembira itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menerusi Instagram Finas, hari ini.
“Setinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Datuk Gerald Hans Isaac di atas pelantikan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuat kuasa 26 Mac 2025,” tulisnya.
Hans pernah memegang jawatan sama pada 2019, namun mengumumkan pembatalan kontrak jawatan yang disandang pada 8 April 2020.
Pada 2023 Hans dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sehingga memaklumkan tidak lagi memegang jawatan itu sejak 20 Mac lalu.
Sementara itu, kontrak Datuk Kamil Othman yang menyandang jawatan Pengerusi Finas bagi tempoh dua tahun berakhir pada 22 Februari lalu dan kini dilantik sebagai Penasihat Industri kepada Finas bermula 17 Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd