Hans Isaac bukan lagi Pengerusi PSM

Hans Isaac bukan lagi Pengerusi PSM

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Hans Isaac membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang disandangnya sejak dua tahun lalu

Keputusan itu diumumkan menerusi Instagram sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kerana memberi peluang kepada beliau menerajui PSM.

“Setelah dua tahun (20 Mac 2025) memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) , saya ingin berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan juga Timbalan Menteri KBS, saudara YB Adam Adli untuk peluang yang diberikan pada saya.

“Tak lupa juga pada Ahli Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), pencapaian ini merupakan hasil kerjasama semua pihak,” katanya.

Selain itu, Hans juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Illyas Jamil dan barisan tenaga kerja agensi berkenaan.

Beliau turut memaklumkan ini masa yang tepat buat beliau menerima cabaran baharu.

Perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Dengan 20 hasil dan cerita kejayaan dalam tempoh dua tahun di bawah pimpinan saya, saya gembira untuk mengatakan barisan ahli lembaga sudah memberikan yang terbaik untuk PSM dan semua pencapaian yang dilakar.

“Sudah tiba masa untuk saya menerima cabaran baharu di mana harapnya ia akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya.

Mengikut rekod, sejak memegang jawatan sebagai Pengerusi PSM, beliau berjaya memastikan entiti itu pendapatan tertinggi sebanyak RM10.64 juta pada tahun 2024.

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menyumbang RM1.8 juta di mana pendapatan ini dijana menerusi aktiviti bukan sukan seperti penganjuran konsert.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top