ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak saman fitnah oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan pada forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.
Melalui saman difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Yeoh menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
Dalam keputusannya menolak saman berkenaan, Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, berkata, walaupun wacana awam mesti seimbang antara perlindungan dengan reputasi, mahkamah mendapati Yeoh gagal membuktikan Musa mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.
Arziah berkata, majlis forum itu dilindungi keistimewaan dan Musa mempunyai alasan munasabah dalam kenyataannya berdasarkan pengakuan dan penulisan Yeoh dalam buku terbabit.
“Penerbitan (kenyataan) itu bukan dalam kawalan defendan (Musa),” katanya.
Sehubungan itu, Arziah memerintahkan Yeoh yang juga Menteri Belia dan Sukan, untuk membayar kos sebanyak RM40,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd