Hampir 80 maut akibat Tropika Ana

Hampir 80 maut akibat Tropika Ana

Selain memusnahkan infrastruktur, ia menjejaskan mata pencarian selain puluhan ribu mangsa meninggalkan kediaman masing-masing dan berlindung di sekolah dan gimnasium.

MAPUTO: Angka kematian akibat ribut Tropika Ana yang membadai tiga negara selatan Afrika meningkat kepada 77 orang setakat Khamis.

Selain memusnahkan infrastruktur, bencana itu juga menjejaskan puluhan ribu penduduk di negara berkenaan.

Ribut Tropika Ana yang tiba di Madagascar pada Isnin lalu, membawa hujan lebat sebelum bergerak ke Mozambique dan Malawi.

Rentetan itu, petugas penyelamat dan pihak berkuasa di tiga negara itu masih lagi menilai kesan keseluruhan kerosakan disebabkan kejadian itu.

Jumlah kematian di Madagascar dilapor membabitkan 48 orang, Mozambique dengan 18 orang dan 11 orang di Malawi.

Ribut berkenaan sudahpun melepasi Zimbabwe tetapi tiada nyawa terancam.

Di tiga negara paling teruk terjejas itu, puluhan ribu kediaman musnah. Terdapat rumah yang roboh akibat hujan lebat menyaksikan terdapat mangsa terperangkap dalam runtuhan.

Ia turut mengakibatkan arus deras sungai merempuh jambatan dan menenggelamkan ladang, melemaskan ternakan dan menjejaskan mata pencarian keluarga di kawasan luar bandar.

Di Madagascar, seramai 130,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Di Antananarivo, sekolah dan gimnasium dijadikan pusat perlindungan kecemasan.

“Kami hanya sempat membawa benda paling penting,” kata mangsa, Berthine Razafiarisoa kepada AFP yang berlindung di sebuah gimnasium dengan 10 anggota keluarganya.

Di utara dan tengah Mozambique, ribut Tropika Ana memusnahkan 10,000 kediaman dan puluhan sekolah serta hospital.

Ia juga memutuskan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

Perkhidmatan cuaca Mozambique memberi amaran terdapat ribut lain akan muncul yang dinamakan Batsirai yang sudahpun terbentuk di Laut India dan akan ‘mendarat’ di negara itu, dalam masa beberapa hari lagi.

“Ia mungkin berubah menjadi ribut tropika yang teruk dalam beberapa hari akan datang,” kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top