Hamdan al-Harini dibebaskan dari tahanan Israel

Hamdan al-Harini dibebaskan dari tahanan Israel

Baitulmaqdis: Polis Israel membebaskan pembikin filem Palestin yang memenangi anugerah Oscar, Hamdan Ballal al-Harini, selepas menahannya sehari sebelum itu atas dakwaan “melontar batu” dalam insiden yang aktivis dakwa sebagai serangan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Rakan Hamdan, Basel Adra yang turut bekerja dengannya dalam filem dokumentari pemenang Oscar itu, No Other Land, memuat naik gambar Hamdan di hospital selepas dibebaskan, dengan kesan darah pada bajunya.

“Hamdan sudah dibebaskan dan kini dirawat di hospital di Hebron. Dia dipukul tentera dan peneroka Israel di seluruh tubuhnya,” kata Basel menerusi hantaran di X, sambil menambah bahawa Hamdan dibiarkan “dengan mata tertutup dan tangan bergari” sepanjang malam.

Menurut tentera Israel, tiga warga Palestin ditahan pada Isnin kerana “melontar batu” dalam “konfrontasi ganas” antara penduduk Israel dan Palestin di perkampungan Susya, selatan Tebing Barat.

Jurucakap polis Israel mengesahkan kepada AFP bahawa Hamdan adalah antara yang ditahan dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin serta dilarang menghubungi pihak lain.

Basel turut berkongsi gambar di media sosial yang menunjukkan detik Hamdan dibawa ke tahanan dalam keadaan “cedera dan berlumuran darah”.

Sementara itu, Yuval Abraham, pengarah bersama ‘No Other Land’, mendakwa sekumpulan peneroka Israel menyerang serta memukul Hamdan.

“Hamdan mengalami kecederaan di kepala dan perut, berdarah. Tentera menyerbu ambulans dan membawanya pergi,” kata Yuval.

Aktivis dari kumpulan antipendudukan, Center for Jewish Nonviolence, mendakwa mereka menyaksikan sendiri keganasan yang berlaku di Susya ketika mereka berada di situ bagi tujuan “kehadiran pelindung” untuk menghalang serangan peneroka.

Seorang aktivis Amerika, Jenna, yang enggan mendedahkan nama penuhnya atas faktor keselamatan, memberitahu AFP bahawa dia melihat tentera Israel memasukkan Hamdan dan dua lagi warga Palestin ke dalam kereta polis.

Sebelum ketibaan tentera Israel, katanya, sekumpulan “15 hingga 20 peneroka” menyerang aktivis serta rumah Hamdan di kampung itu.

“Jenis keganasan seperti ini berlaku secara kerap,” katanya.

Tentera Israel mendakwa tiga warga Palestin yang ditahan di kawasan Susya melontar batu ke arah warga Israel serta merosakkan kenderaan mereka.

“Kejadian ini mencetuskan konfrontasi ganas, membabitkan lontaran batu antara Palestin dan Israel,” menurut kenyataan tentera, sambil mendakwa “pengganas… melontar batu” ke arah tentera Israel yang tiba di lokasi.

Susya terletak berhampiran Masafer Yatta, gugusan perkampungan di selatan Hebron, lokasi di mana ‘No Other Land’ difilemkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top