Hamas siar video tebusan Israel-Amerika masih hidup, kritik kerajaan Israel

Hamas siar video tebusan Israel-Amerika masih hidup, kritik kerajaan Israel

Bandaraya Gaza: Pejuang Hamas menyiarkan video yang mengejutkan pada Sabtu, menunjukkan seorang askar Israel-Amerika masih hidup dalam tahanan dan secara terbuka mengkritik kerajaan Israel kerana gagal membebaskannya.

Klip yang dipercayai dirakam dalam tahanan itu membangkitkan semula tekanan terhadap kepimpinan Israel, terutama menjelang sambutan Paskah yang sinonim dengan kebebasan.

Kumpulan kempen Israel, Hostages and Missing Families Forum, mengenal pasti tebusan itu sebagai Edan Alexander, seorang askar unit infantri elit yang ditawan pejuang Palestin ketika serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

AFP tidak dapat mengesahkan bila rakaman itu dibuat.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, menyiarkan klip berdurasi lebih tiga minit itu yang menunjukkan Alexander duduk dalam ruang kecil tertutup.

Dalam video itu, dia menyatakan hasrat untuk pulang menyambut perayaan.

Ketika ini, Israel sedang menyambut Paskah, perayaan yang memperingati pembebasan bangsa Israel dari perhambaan di Mesir.

Alexander, yang menyambut ulang tahun ke-21 ketika dalam tahanan, dilahirkan di Tel Aviv dan dibesarkan di New Jersey, Amerika Syarikat, sebelum kembali ke Israel selepas tamat sekolah menengah untuk menyertai tentera.

Rakaman video itu memaparkan Alexander kelihatan bercakap dalam keadaan terpaksa, membuat banyak isyarat tangan sambil mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang gagal membebaskannya.

Video itu disiarkan beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengumumkan kawalan ketenteraan ke atas laluan baharu dinamakan “Koridor Morag” antara bandar selatan Rafah dan Khan Yunis.

Keluarganya tidak memberi kebenaran kepada media untuk menyiarkan rakaman berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top