Hamas sahkan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza, bermula

Hamas sahkan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza, bermula
Hamas sahkan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza, bermula

Hamas mengesahkan rundingan fasa kedua gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan telah bermula – Foto Agensi

GAZA CITY – Kumpulan Palestin Hamas pada Selasa mengesahkan bahawa rundingan bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan telah bermula, lapor Agensi Anadolu.

“Rundingan dan hubungan bagi fasa kedua telah bermula, dan tumpuan kami adalah kepada perlindungan, bantuan serta usaha membangunkan semula kehidupan rakyat kami di Gaza,” kata jurucakap kumpulan itu, Abdel Latif al-Qanoua, dalam satu kenyataan.

Beliau menuduh Israel sengaja “melewatkan pelaksanaan protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata serta melengahkan pelaksanaannya.”

“Perlindungan dan bantuan kemanusiaan adalah keutamaan mendesak yang tidak boleh tertakluk kepada kelewatan oleh Israel,” tambahnya.

Qanoua menegaskan bahawa usaha membangunkan semula hospital, membaiki jalan raya serta memulihkan telaga air adalah penting bagi menghidupkan kembali Gaza selepas kemusnahan besar akibat perang Israel.

Israel pada awal Selasa menyatakan bahawa pihaknya akan menghantar pasukan perunding ke Qatar hujung minggu ini bagi membincangkan fasa kedua perjanjian Gaza.

Satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa pasukan itu akan membincangkan “butiran teknikal berkaitan meneruskan pelaksanaan” perjanjian tersebut.

Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan antara Netanyahu dengan utusan khas Amerika Syarikat Steve Witkoff dan Penasihat Keselamatan Negara Michael Waltz di Washington, apabila mereka membincangkan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata Gaza.

Rundingan bagi fasa kedua perjanjian itu dijadualkan bermula pada Isnin, namun Netanyahu memutuskan untuk tidak menghantar pasukan perundingnya ke Doha sehingga selepas pertemuannya dengan Trump pada Selasa.

Fasa enam minggu pertama perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 19 Jan, menghentikan perang Israel yang telah mengorbankan lebih 47,500 nyawa serta menyebabkan wilayah itu musnah teruk.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang yang dilancarkan ke atas wilayah itu. – Bernama

Scroll to Top