
Perdana Menteri Hungary Viktor Orban dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berjalan di atas permaidani merah semasa majlis mengalu-alukan di Halaman Lion di Budapest, Hungary, pada Khamis. Foto Reuters
ANKARA – Kumpulan Palestin, Hamas pada Khamis mengecam keras keputusan Hungary untuk menarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor Anadolu Ajansi.
Hungary mengumumkan keputusan itu sejurus selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tiba di Budapest untuk lawatan selama empat hari.
Netanyahu kini berdepan waran tangkap atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Semenanjung Gaza, ketika lebih 50,500 orang terbunuh dalam serangan ganas Israel sejak Oktober 2023.
“Kami menganggap keputusan ini sebagai tindakan tidak bermoral yang menunjukkan keterlibatan secara terang-terangan dengan seorang penjenayah perang yang melarikan diri daripada keadilan antarabangsa serta satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip keadilan manusia.
“Keputusan Hungary merupakan satu tamparan terhadap keadilan antarabangsa dan mencerminkan dasar dwistandard yang diamalkan oleh beberapa kerajaan Barat, yang melemahkan sistem kehakiman antarabangsa, menggalakkan kekebalan daripada hukuman, dan menjadi ancaman langsung terhadap keamanan serta kestabilan global,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Hamas menyeru kerajaan Hungary agar “segera menarik balik keputusan berat sebelah dan memalukan ini, memenuhi tanggungjawab undang-undangnya, serta menyerahkan penjenayah perang Netanyahu kepada ICC bagi membawanya ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal atas pembunuhan beramai-ramai serta genosid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.”
Lawatan Netanyahu ke Hungary menandakan lawatan pertamanya ke Eropah sejak ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap perdana menteri itu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pada November.
Kumpulan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch, turut menggesa Hungary supaya menahan Netanyahu dan menyerahkannya kepada ICC.
Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung peperangan di Gaza. – Bernama/Anadolu