KAHERAH: Kumpulan pejuang Hamas menolak hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih dan menguruskan Semenanjung Gaza.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pihaknya menolak cadangan itu dan menyifatkannya sebagai perkauman, serta percubaan terang-terangan untuk mengabaikan perjuangan Palestin dan menafikan hak kebangsaan mereka.
“Pemindahan penduduk Palestin dari Gaza adalah matlamat sebenar pencerobohan Israel terhadap wilayah kami.
“Kami menganggapnya sebagai resipi untuk mencipta huru-hara dan ketegangan di rantau ini. Rakyat kita di Semenanjung Gaza tidak akan membenarkan rancangan ini berlaku.
“Apa yang diperlukan adalah menamatkan pendudukan dan pencerobohan terhadap rakyat kita, bukan pengusiran mereka dari tanah mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Pegawai kanan Hamas, Izzat al-Rishq turut mengecam Trump atas kenyataannya itu.
“Rakyat kami di Gaza telah menggagalkan rancangan pemindahan dan pengusiran di bawah pengeboman selama lebih daripada 15 bulan.
“Mereka berakar di tanah ini dan tidak akan menerima sebarang rancangan yang bertujuan untuk mencabut mereka dari tanah air mereka,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Sementara itu, Gerakan Jihad Islam Palestin (JIP) memberi reaksi sama, dengan menyatakan bahawa 15 bulan pencerobohan Israel ke atas Gaza dan 80,000 tan senjata AS tidak dapat mengusir penduduk Gaza dari tanah mereka.
Kumpulan pejuang itu menegaskan bahawa rakyat Palestin sentiasa mempunyai pilihan untuk melawan, sesuatu yang telah mereka lakukan selama lebih daripada 100 tahun. – AGENSI