![Hamas bebaskan tiga lagi tawanan Israel di bawah perjanjian gencatan senjata Hamas bebaskan tiga lagi tawanan Israel di bawah perjanjian gencatan senjata](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/08/2999747.jpg)
Kumpulan Palestin, Hamas membebaskan salah seorang daripada tiga tawanan Israel pada Sabtu. Foto AFP
ANKARA – Kumpulan Palestin, Hamas membebaskan tiga lagi tawanan Israel pada Sabtu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Israel, lapor Agensi Anadolu.
Ketiga-tiga tawanan-Or Levy, Eliyahu Sharabi dan Ohad Ben Ami-diserahkan kepada wakil Palang Merah di bandar Deir al-Balah, tengah Gaza.
Menurut wartawan Anadolu, seorang daripada tawanan yang dibebaskan dilihat memakai pakaian seragam tentera Israel, manakala dua lagi memakai pakaian berwarna coklat.
Wakil Palang Merah menandatangani dokumen sebagai pengesahan penerimaan tawanan sebelum membawa mereka untuk diserahkan kepada tentera Israel.
Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka dimaklumkan oleh Palang Merah mengenai penyerahan tiga tawanan berkenaan.
Sebagai pertukaran, Israel dijangka membebaskan 183 tahanan Palestin. – Bernama