Hamas akan bebas tawanan seperti dipersetujui jika Israel patuh gencatan senjata

Hamas akan bebas tawanan seperti dipersetujui jika Israel patuh gencatan senjata

ANKARA – Kumpulan Pejuang Palestin Hamas berkata pada Khamis bahawa ia sedia untuk menyambung semula pembebasan tawanan seterusnya pada Sabtu jika Israel mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

“Israel melanggar perjanjian itu berkali-kali, sama ada dengan menghalang kepulangan orang yang dipindahkan atau menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan,” kata jurucakap Hamas, Abdul Latif al-Qanoua.

“Jika Israel tidak mematuhi syarat perjanjian, proses pertukaran tawanan tidak akan berlaku,” katanya.

Hamas berkata ia akan membebaskan tawanan Israel seperti yang dirancang di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata langkah itu diambil selepas perbincangan dengan pengantara Mesir dan Qatar, yang berjanji untuk berusaha “menghapuskan halangan dan merapatkan jurang”.

Hamas akan terus melaksanakan perjanjian Gaza “sesuai dengan perjanjian yang ditandatangani, termasuk pertukaran tawanan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Kumpulan Palestin itu berkata, pada Isnin yang ia akan menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya sebagai tindak balas kepada pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.

Pihak berkuasa Palestin menyenaraikan beberapa siri pelanggaran Israel terhadap perjanjian itu, termasuk menembak orang awam dan menyekat akses kepada barangan bantuan, seperti khemah dan karavan, bagi orang awam yang dipindahkan di Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada hari berikutnya mengugut untuk menamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza jika Hamas gagal membebaskan tawanan menjelang tengah hari Sabtu.

Qanoua berkata terdapat “tanda-tanda positif” mengenai komitmen Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.

“Hamas komited dengan apa yang dicapai, tetapi tidak akan menerima sebarang pelanggaran Israel yang mungkin mengganggu proses pertukaran,” katanya.

Hamas berkata delegasi, yang diketuai oleh pemimpinnya di Gaza, Khalil al-Hayya mengadakan perbincangan dengan pengantara Mesir dan Qatar untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

“Delegasi kami menumpukan dalam mesyuarat dan komunikasi mengenai keperluan untuk mematuhi dan melaksanakan semua syarat perjanjian, terutamanya dalam mendapatkan perumahan untuk rakyat kami dan memastikan penghantaran segera karavan, khemah, peralatan berat, bekalan perubatan, bahan api dan aliran berterusan bantuan dan semua peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian itu.”

“Perbincangan menandakan semangat positif sementar pengantara Mesir dan Qatar pula mengetengahkan keperluan untuk terus berusaha menghapuskan halangan dan merapatkan jurang,” katanya. – Bernama

Scroll to Top