Halal aset negara, bukan sekadar label

Halal aset negara, bukan sekadar label

KEBELAKANGAN ini, isu pensijilan halal kembali mendapat perhatian setelah beberapa kontroversi berhubung status halal produk tertentu tular di media sosial.

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pada tahun 2024 sahaja, lebih daripada 8,000 aduan berkaitan produk dan perkhidmatan yang diragui status halalnya telah diterima.

Ini menunjukkan betapa pentingnya isu itu dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia terutama bagi yang beragama Islam.

Pensijilan halal bukan sekadar memenuhi tuntutan agama atau label semata-mata. Ia turut mencerminkan aspek ketelusan, kebersihan dan integriti dalam pengurusan sesuatu produk atau perkhidmatan.

Dalam konteks global, pensijilan halal Malaysia telah diiktiraf di lebih 40 negara, menjadikannya salah satu standard halal paling dipercayai di dunia.

Oleh itu, usaha untuk meremehkan atau mempersoalkan kredibiliti pensijilan ini bukan sahaja tidak wajar, malah boleh memberi kesan buruk kepada imej negara.

KEPENTINGAN pensijilan halal tidak terhad kepada umat Islam sahaja, sebaliknya, ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama. -Foto: CANVA

KEPENTINGAN pensijilan halal tidak terhad kepada umat Islam sahaja, sebaliknya, ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama. -Foto: CANVA

Simbol kualiti diiktiraf

Kepentingan pensijilan halal tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Sebaliknya, ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama.

Ia bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan yang tinggi. Ini termasuk pemeriksaan ketat terhadap bahan mentah, proses pengilangan dan penyimpanan.

Sebagai contoh, statistik terkini menunjukkan 80 peratus pengguna bukan Islam di Malaysia turut memilih produk berstatus halal kerana kepercayaan terhadap piawaian kebersihannya, sekali gus membuktikan bahawa pensijilan halal bukan sekadar tuntutan agama, tetapi juga simbol kualiti yang diiktiraf.

Justeru, menjadi tanggungjawab bersama untuk menghormati dan memahami kepentingan pensijilan halal. Masyarakat termasuk pihak industri, tidak seharusnya memandang ringan proses pensijilan itu.

Tindakan seperti memalsukan logo halal atau menggunakan bahan yang diragui statusnya adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan pengguna.

Dalam kes terbaharu melibatkan sebuah universiti tempatan baru-baru ini menghadapi kritikan hebat selepas sebuah produk sandwic yang dilabel sebagai ‘ham’ dijual di salah satu premis serbaneka mereka.


KEPENTINGAN pensijilan halal tidak terhad kepada umat Islam sahaja, sebaliknya ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama. -Foto: CANVA

KEPENTINGAN pensijilan halal tidak terhad kepada umat Islam sahaja, sebaliknya ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama. -Foto: CANVA

Walaupun produk tersebut didakwa menggunakan ‘ham ayam’ yang kononnya halal, ketiadaan logo halal yang sah pada bungkusan produk tersebut menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar.

Kes itu jelas menunjukkan betapa pentingnya pematuhan kepada pensijilan halal untuk mengelakkan salah faham dan menjaga sensitiviti pengguna.

Pelihara kredibiliti pensijilan halal

Pun begitu, sebagai pengguna kita juga perlu lebih bijak dalam membuat pilihan. Jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas yang sering dimainkan oleh pihak tertentu untuk merendahkan kredibiliti pensijilan halal Malaysia.

Apa yang pasti, sebagai pengguna pastikan kita merujuk kepada sumber yang sahih seperti direktori halal Jakim yang boleh diakses secara dalam talian.


MASYARAKAT jangan meremehkan kepentingan sijil halal dan harus bersama-sama memastikan kredibiliti pensijilan ini terus terpelihara demi kebaikan kita bersama. -Foto: CANVA

MASYARAKAT jangan meremehkan kepentingan sijil halal dan harus bersama-sama memastikan kredibiliti pensijilan ini terus terpelihara demi kebaikan kita bersama. -Foto: CANVA

Namun, di sebalik usaha untuk menegakkan standard halal, terdapat cabaran besar yang perlu dihadapi. Antaranya ialah ketidakfahaman segelintir pihak tentang prosedur pensijilan yang ketat.

Selain itu, penyebaran maklumat palsu atau fitnah terhadap produk berstatus halal juga semakin berleluasa terutamanya di platform media sosial.

Untuk menangani cabaran itu, kerjasama semua pihak amat penting. Jakim dan pihak berkuasa lain perlu mempergiatkan usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan dan prosedur pensijilan halal.

Pihak industri pula harus memastikan setiap produk yang dipasarkan memenuhi piawaian halal, manakala pengguna perlu lebih bertanggungjawab dalam menyemak status halal produk yang digunakan.

Hakikatnya, pensijilan halal Malaysia bukan sekadar simbol keagamaan, tetapi juga cerminan standard tinggi dalam industri makanan dan perkhidmatan. Ia adalah aset negara yang perlu dipertahankan oleh semua pihak.

Oleh itu, masyarakat jangan meremehkan kepentingannya dan harus bersama-sama memastikan kredibiliti pensijilan ini terus terpelihara demi kebaikan bersama.

*Artikel ditulis oleh Ahmad Syakir Sazili, Pengarah Komunikasi Korporat, Pusat Kecemerlangan Halal (UHAC) Kolej UNITI Port Dickson

Scroll to Top