Hala tuju MAHB ditentukan Khazanah, KWSP

Hala tuju MAHB ditentukan Khazanah, KWSP

KHAZANAH Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus memainkan peranan penting dalam operasi dan keputusan strategik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kerana mereka masih memegang pegangan majoriti.

Global Infrastructure Partners dijangka tidak mencampuri operasi harian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selepas memperoleh 30 peratus kepentingan di dalamnya bersama-sama Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), kata penganalisis.

Ini memandangkan Khazanah dan KWSP adalah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu masih memegang pegangan majoriti 70 peratus dalam konsortium Gateway Development Alliance (GDA) yang mengambil alih MAHB.

Wan Mohd Farid

Wan Mohd Farid

Penganalisis ekonomi, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, Khazanah dan KWSP akan terus memainkan peranan penting dalam operasi dan keputusan strategik MAHB termasuk pelantikan pengerusi dan pasukan pengurusan tertinggi.

Sebagai entiti pelaburan utama, GIP dan ADIA – bersama Khazanah dan KWSP – akan menyediakan modal dan kepakaran strategik yang diperlukan untuk memodenkan infrastruktur dan meningkatkan kualiti perkhidmatan di MAHB.

No Image Caption

“Pelabur asing seperti GIP dan ADIA dijangka menyumbang kepada penambahbaikan operasi lapangan terbang melalui kepakaran antarabangsa mereka, terutamanya dalam pengurusan lapangan terbang bertaraf dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

⁠Wan Mohd Farid berkata, penswastaan MAHB juga bertujuan memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia dalam pasaran penerbangan Asia Tenggara yang berkembang pesat.

⁠“MAHB memainkan peranan penting sebagai pintu masuk untuk perdagangan dan pelancongan ke Malaysia.

“Penswastaan itu juga memberi peluang untuk menyuntik modal yang besar ke dalam MAHB, yang diperlukan untuk memodenkan lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan meningkatkan kapasiti penumpang.

No Image Caption

“Khazanah dan KWSP percaya langkah ini akan membantu Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau, sekali gus merangsang sektor pelancongan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dari perspektif ekonomi, pengambilalihan itu membawa pelbagai manfaat kepada negara, kata beliau yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM.

“Pertama, ia meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor penerbangan. Kehadiran pelabur antarabangsa seperti GIP dan ADIA menunjukkan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan infrastruktur utama.

“Kedua, pengambilalihan ini mengurangkan pergantungan MAHB kepada kerajaan untuk modal, kerana pelabur swasta bersedia menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk pembaharuan dan peningkatan operasi,” katanya.

⁠Dalam jangka panjang, peningkatan dalam kualiti lapangan terbang akan merangsang pelancongan, mewujudkan laluan udara baharu, dan memberi kesan positif kepada keluaran dalam negara kasar melalui peningkatan pelancong dan aktiviti perniagaan antarabangsa.

⁠Dua hari lalu, BlackRock Inc mengumumkan penyiapan pengambilalihan GIP.

Dalam satu kenyataan, BlackRock berkata, penggabungan itu mewujudkan peneraju industri dalam infrastruktur yang merangkumi ekuiti, hutang dan penyelesaian, sekali gus menyediakan pelbagai kepakaran dan pendedahan kepada sektor infrastruktur dalam kedua-dua pasaran maju dan baru muncul.

Sebelum ini, timbul isu berhubung penjualan kepentingan dalam MAHB kepada BlackRock.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, GIP dipilih sebagai rakan kongsi selepas syarat ketat dipenuhi, termasuk bersetuju untuk mengambil hanya kepentingan minoriti dan bersetuju Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif adalah rakyat Malaysia.

Pada bulan Jun, GIP telah menegaskan BlackRock tidak pernah terlibat dalam sebarang urus niaga yang berkaitan dengan penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui konsortium GDA dan GIP akan mengekalkan pasukan pengurusan sedia ada selepas penyiapan pemerolehan oleh Blackrock.

Konsortium GDA diterajui oleh entiti Malaysia, Khazanah dan KWSP sebagai 70 peratus pemegang saham dengan GIP dan ADIA memegang pegangan minoriti sebanyak 30 peratus.

⁠Pada 25 Mei, GDA mengumumkan tawaran bersyarat sukarela untuk membeli semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium pada harga tawaran RM 11 sesaham, berjumlah RM18.4 bilion.

MIDF Research menyatakan harga tawaran RM11 sesaham mewakili anggaran premium 18 peratus berbanding anggaran nilai saksamanya sebanyak RM9.32 untuk saham MAHB.

UOB Kay Hian (UOBKH) Research juga mencadangkan agar pelabur menerima tawaran penswastaan, dengan peluang untuk meraih manfaat kewangan daripada saham mereka pada penilaian premium.

Begitu juga, Kenanga Research, dengan menandakan harga sasaran RM11 sesaham, mengesyorkan pelabur untuk “menerima tawaran itu.”

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Scroll to Top