Hakim Danish takluk Aragon

Hakim Danish takluk Aragon

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hakim Danish Ramli mengotakan janjinya untuk menghadiahkan Malaysia kemenangan sempena Hari Kemerdekaan ke-67, semalam dengan menjuarai Perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Aragon, Sepanyol, hari ini.

Berlangsung dalam keadaan litar basah, Hakim Danish jelas berjaya memanfaatkan sepenuhnya kepakarannya berlumba dalam keadaan permukaan litar yang licin di Aragon untuk menamatkan perlumbaan dengan jurang besar lebih 6 saat di depan pencabar terdekatnya.

Memulakan perlumbaan di petak kelima, pelumba kelahiran Terengganu itu pantas meletakkan dirinya di depan sejurus saingan dimulakan dan tidak lagi menoleh ke belakang untuk memimpin perlumbaan sehingga penamat.

Sekalipun pada satu ketika kedudukannya nampak seperti mahu dicabar Brian Uriarte, situasi itu tidak menjadi kenyataan apabila pelumba Sepanyol itu tampak seperti mengendurkan cabarannya di penghujung saingan.

Keputusan itu menyaksikan Uriarte terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan selaku naib juara manakala pelumba Finland, Rico Salmela melengkapkan kedudukan podium.

“Saya berjaya menguruskan perlumbaan (litar basah) dengan baik hari ini dan saya merasa cukup yakin dengan jentera saya.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih krew Red Bull Rookies, ZK Racing, SIC, Rider Formation dan kepada semua yang menyokong saya.

“Semalam adalah Hari Kemerdekaan untuk Malaysia dan kemenangan ini adalah untuk semua rakyat Malaysia,” kata pelumba berusia 17 tahun itu.

Sebagai rekod, kemenangan yang diperoleh Hakim Danish di Aragon adalah yang pertama buatnya dalam kempen RBMRC yang mula disertainya pada musim lalu selain menjadi pelumba Malaysia pertama berjaya muncul juara.

Kemenangan itu turut mengubat kekecewaannya pada Perlumbaan 1 semalam selepas dia sekadar menamatkan aksi di tempat ke-14 selepas dikenakan penalti berganda atas kesilapan yang dibuat.

© New Straits Times Press (M) Bhd