Hak dan tanggungjawab wanita dalam Islam

Hak dan tanggungjawab wanita dalam Islam

Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed

FIRMAN Allah SWT bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (Al-Hujurat: 13)

Advertisement

Allah SWT telah menciptakan lelaki dan perempuan dalam keadaan yang sama cuma berbeza dari segi bentuknya. Dan perempuan tidak diciptakan Allah lebih rendah atau lebih tinggi daripada kaum lelaki. Kedua-dua jenis ini mempunyai hubungan perkahwinan antara suami dan isteri dalam bentuk yang lebih kukuh dan mendalam dengan adanya pembahagian hak dan tanggungjawab antara keduanya. Maka ciptaan kedua jenis lelaki dan perempuan mempunyai peranan yang sama seperti peranan yang dimainkan oleh anggota dalam tubuh badan kita.

Dengan yang demikian bolehlah dikatakan bahawa kedua jenis lelaki dan perempan sempurna dan menyempurnakan antara satu sama lain dengan masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tertentu. Dan bila kita meneliti ayat yang tersebut di atas mendapati bahawa terdapat kewajipan yang dipikul oleh kedua-dua belah pihak iaitu untuk mencapai ketaqwaan yang kukuh kerana itu adalah ukuran kemuliaan disisi Allah Taala. Maka untuk mendapat makrifat Allah menjadi tanggungjawab yang perlu dicapai oleh setiap makhluk Allah, baik lelaki atau perempuan, bukan sahaja kaum lelaki untuk mencapai kepada makrifat Allah yang sebenar.

Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah  dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatan serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatan dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak dan orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzab: 35)

Dalam ayat di atas Allah menyebut berulang kali perkataan lelaki dan perempuan, menunjukkan dengan jelas tentang adanya kewajipan dan tanggungjawab serta balasan yang sama kepada lelaki dan perempuan disebabkan tunduk, iman dan taat, bercakap benar dan sabar, berbuat baik, berpuasa dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya yang akhirnya mendapat keampunan dan pahala yang besar. Dengan sebab itu wanita mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki, di mana jua mereka berada. Di samping itu terdapat beberapa perkara yang diharamkan kepada kaum lelaki kerana melakukan kerosakan dan kebinasaan. Maka begitulah kaum perempuan pun dilarang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Oleh yang demikian Islam menyuruh memelihara kehormatan dan kesucian lelaki dan perempuan dalam batas-batas yang sama. Islam juga memberi hak yang sama dalam pendidikan, dalam pilihan raya dan bersuara dan juga untuk dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya yang diadakan.

Islam memberi perhatian yang khas kepada kaum wanita, dimana sebelum kelahiran Islam, kaum wanita telah hilang haknya, dimana sebelum Islam mereka dijadikan  bahan untuk memuaskan nafsu lelaki bahkan mereka pernah ditanam hidup-hidup. Islam telah mengembalikan kemuliaan dan kehormatannya dengan memberikan hak yang sesuai dengan sifat kewanitaannya. Sebagai seorang isteri, wanita mempunyai hak dan tanggungjawab sepertimana seorang suami mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu dipikul. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

DATO’ DR. MAHFODZ MOHAMED
Pengerusi As Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/1/2024