Hajat Ulsan tidak kesampaian

Hajat Ulsan tidak kesampaian

Buriram: Harapan tipis Ulsan HD untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite berakhir apabila bekas juara Asia dari Korea Selatan itu tewas 1-2 kepada Buriram United di Thailand, semalam.

Suphanat Mueanta muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ketiga masa kecederaan, selepas Jang Si Young menyamakan kedudukan menerusi gol yang membatalkan jaringan pembukaan Guilherme Bissoli pada minit ke-20.

Ulsan kekal dengan tiga mata daripada tujuh perlawanan dan kini ketinggalan lima mata daripada kelompok lapan pasukan teratas yang akan layak ke pusingan seterusnya, dengan hanya satu perlawanan berbaki.

Buriram, yang kini mengumpul 11 mata di tangga keenam, hanya memerlukan keputusan seri menentang Gwangju FC pada Selasa depan untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Lapan pasukan terbaik dari Zon Timur dan Zon Barat akan mara ke pusingan 16 terbaik, yang akan berlangsung secara timbal balik pada Mac.

Sementara itu, suku akhir, separuh akhir dan final akan dimainkan dalam format berpusat di Arab Saudi pada April dan Mei.

Dalam aksi semalam, Bissoli memanfaatkan kesilapan Jung Woo Yong di bahagian tengah sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Jo Hyeon Woo.

Bagaimanapun, Si Young menyamakan kedudukan menerusi penyudah kemas selepas menerima hantaran cantik daripada Darijan Bojanic.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Suphanat memastikan kemenangan Buriram apabila menolak masuk hantaran Dion Cools, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan tuan rumah.

Sementara itu, Yokohama F Marinos kembali ke puncak liga selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab Liga Super China, Shanghai Shenhua, dalam perlawanan pertama di bawah kendalian Steve Holland.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Yan Matheus pada minit ke-20 selepas rembatan lencongnya menerjah ke penjuru atas gawang hasil bantuan back heel bijak Anderson Lopes yang mengelirukan pertahanan lawan.

Marinos, yang sudah pun mengesahkan kelayakan selepas keputusan pada Selasa memastikan mereka tidak boleh terkeluar daripada kelompok lapan teratas, kini mendahului carta berdasarkan perbezaan gol ke atas satu lagi kelab Liga J, Vissel Kobe.

Kobe, pasukan di tempat ketiga Kawasaki Frontale, serta Gwangju FC juga sudah melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top