Hafiz Suip Rancang Tempah Kaki Palsu Buat Ibu Tersayang

Hafiz Suip Rancang Tempah Kaki Palsu Buat Ibu Tersayang

“Bayangkan selepas bertahun hidup dengan kedua belah kaki tiba-tiba sekarang ibu sudah tiada sebelah kaki”.

Demikian luahan penyanyi popular, Hafiz Suip selepas berkongsi mengenai keadaan ibunya, Halizawati Salleh, 62, yang kini berada dalam keadaan baik selepas kaki kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis.

Kata Hafiz, dia reda dan berlapang dada menerima takdir yang ditetapkan Tuhan untuk  mereka sekeluarga.

“Bayangkan selepas bertahun hidup dengan kedua belah kaki tiba-tiba sekarang ibu sudah tiada sebelah kaki.

“Kami sekeluarga juga terpaksa ‘berkampung’ di hospital lebih kurang sebulan lamanya sepanjang ibu dirawat di sana sebelum ini.

“Saya fikir, kami sebagai anak yang perlu menjadi ‘kaki’ (penguat semangat) buat ibu. Nampaknya ibu juga sudah reda menerima takdir ini dan sudah pandai bergurau dengan keadaan kakinya itu,” katanya kepada pemberita.

Kongsinya, kaki ibunya pada mulanya hanya mengalami luka kecil di bahagian jari, namun disebabkan tidak mahu mengambil risiko, doktor menasihati agar ia dipotong hingga ke paras lutut.

“Disebabkan penyakit itu sudah berkait dengan masalah organ lain serta tahap kencing manis ibu pun sudah terlalu tinggi, doktor menasihatkan untuk potong kaki hingga paras lutut kerana bimbang akan melakukan pembedahan berulang kali sekiranya terkena jangkitan,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai seorang anak, pelantun lagu Awan Nano ini merancang untuk menempah kaki palsu buat ibunya agar dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Terdahulu, Hafiz memberitahu dia kini sudah menetap di Kuching, Sarawak kerana mahu menjaga ibu bapanya.

Hafiz berkata, ibunya juga berdepan masalah kesihatan dan sering dirawat di sebuah pusat perubatan di Kuching.

 

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top