najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Hafidz Roshdi memilih mengunci mulut mengenai dakwaan isterinya, Athira Yuhada kini sedang hamil.
Hafidz berkata, buat masa ini dia hanya mahu berkongsi mengenai kes tuntutan hak penjagaan ke atas dua anak hasil perkahwinan bersama bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
“Saya tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
“Sekarang saya mahu fokus pada kes hadanah (hak penjagaan anak) sahaja,” katanya ringkas kepada Harian Metro.
Menurut Hafidz, sebagai suami sudah tentu dia mengharapkan kebahagiaan dan dikurniakan zuriat selepas mendirikan rumah tangga dengan Athira pada 16 Disember 2023.
“Insya-Allah. Kalau ada rezeki Allah bagi, saya pasti teruja. Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik buat saya,” katanya.
Sebelum ini, pada program Permata Seni Koir anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, baru-baru ini, perut Athira dilihat semakin membesar menandakan dia sedang hamil.
Berikutan itu, Hafidz dikatakan bakal menimang cahaya mata ketiga sementara Athira pula menanti kehadiran cahaya mata sulungnya itu tidak lama lagi.
Malah, Athira yang ditemui media pada Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2024 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), pada Ogos tahun lalu turut enggan memberikan komen ketika ditanya berkenaan dakwaan sudah berbadan dua.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Namun, bercerai pada 27 Julai 2023.
Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 8 dan Umar, 5.
Hafidz yang juga finalis program pencarian bakat, Hero Remaja Edisi 2011/2012 berkahwin dengan cinta pertamanya, Athira Yuhada di Glenmarie, Shah Alam pada 15 Disember 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd