sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Perodua Bezza bakal menjadi milik peserta Terengganu Cycling Team (TSG) Shimano Fellowship Ride pada 20 September 2025.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, kejohanan edisi kelima itu bakal mencipta sejarah tersendiri sebagai penganjuran komuniti terbesar pernah diadakan di Pantai Timur.
Beliau berkata, TSG Shimano Fellowship Ride edisi kelima yang akan diadakan di Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, Terengganu dijangka bakal mencipta sejarah sebagai penganjuran terbesar sejak
diperkenalkan.
“Program kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu dan Pejabat Daerah Kuala Nerus serta sokongan penaja utama, Shimano iaitu syarikat pembuatan komponen basikal terbesar dunia dijangka menghimpunkan lebih 2,500 peserta dari dalam dan luar negara.
“Dua segmen utama yang ditawarkan pada edisi kali ini iaitu fun ride road sejauh 106 kilometer (km) dan fun run MTB (40km).
“Kayuhan ini bukan sahaja memberi cabaran fizikal dan pengalaman menarik kepada peserta, malah turut menjadi platform memperkukuh ukhuwah serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai tarikan istimewa, hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta Perodua Bezza 1.5 tajaan syarikat EPIC akan menanti peserta bertuah di samping pelbagai hadiah menarik lain,” ujarnya ketika ditemui.
Beliau berkata, turut ditawarkan produk tempatan, warisan budaya dan aktiviti komuniti menjadikan acara itu bukan sahaja mengenai sukan, malah memperkenalkan keunikan Terengganu kepada pengunjung dari seluruh negara dan luar negara.
“Lebih istimewa, sesi pelancaran rasmi pasukan TSG ke kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 turut diadakan sempena program ini.
“Pasukan TSG bakal menggalas cabaran negara dalam perlumbaan berprestij itu yang dijadualkan berlangsung bermula 28 September hingga 5 Oktober 2025,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd