'Hadiah istimewa sempena persaraan saya hari ini' – Sarjan Mejar Kamarudin

'Hadiah istimewa sempena persaraan saya hari ini' – Sarjan Mejar Kamarudin

am@hmetro.com.my

Melaka: Sikap prihatin dan ihsan dipamerkan sembilan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka membantu orang ramai semasa Op Selamat 24 mendapat pengiktirafan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Sarjan Mejar (SM) Kamarudin Othman, Koperal (Kpl) Hamizan Zakariya, Koperal Mohd Isqal Ahmad, Lans Koperal Muhammad Airel Mohammad Shah dan Konstabel Muhammad Hilmi Mustapha serta dibantu Sarjan (SJN) Mohd Jamil Towid, masing-masing menerima surat penghargaan disampaikan Dzulkhairi di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, semalam.

Turut menerima surat penghargaan itu adalah Sjn Hasliza Mohd Rashid, Kpl Shahrulnizam Mohd Shah dan L/Kpl Azarulhazrin Ishak.

Surat penghargaan itu sebagai apresiasi di atas kecemerlangan, komitmen serta sifat ihsan dipamerkan dalam membantu orang awam yang dalam kesusahan yang mana video mereka turut tular di media sosial hingga mendapat tontonan umum dan komen positif daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah; Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit serta Ketua JSPT Melaka, Superintendan Roslan Mohamed @ Ab Aziz.

Sementara itu, Kamarudin, 59, berkata, surat penghargaan itu dianggap hadiah istimewa sempena persaraannya hari ini selepas lebih 39 tahun berkhidmat dalam PDRM bermula 1986.

“Diikutkan dalam bertugas macam-macam keadaan kami lalui termasuk tolong orang ramai dalam kesulitan, namun tidak pernah harap dapat penghargaan.

“Apapun, saya amat menghargai pengiktirafan diberikan ini dan ia hadiah bermakna buat saya yang bersara hari ini,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor ketika dihubungi.

Menurutnya, pada hari kejadian dia bersama pasukan yang menjalankan Op Selamat 24 di kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menerima maklumat dua lelaki warga emas tidak dapat mencari kenderaan mereka ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 di MITC, Ahad lalu.

“Seorang disyaki mengalami masalah ingatan manakala rakannya orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan dan berkerusi roda menyebabkan mereka sukar mencari dan terlupa lokasi kereta di parkir.

“Habis sekitar kawasan parkir dan jalan di MITC kami ronda tapi tidak jumpa sebelum mengesan kereta berkenaan di satu lorong berhampiran sebuah restoran di luar kawasan MITC.

“Kami membawa warga emas itu ke lokasi sebelum mengiringi kenderaannya dalam keadaan jalan sesak untuk mengambil rakan OKU dan beredar,” katanya yang mengetuai operasi itu.

Sementara itu, Hasliza bersama dua anggota BSPTD Melaka Tengah menerima surat penghargaan selepas membantu dua wanita yang mengalami tayar pancit di Jalan Kota Shahbandar pada 1 April lalu.

Video dan gambar pertemuan antara sembilan anggota terbabit yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Melaka Tengah bersama Dzulhairi turut dikongsi di FB PDRM Melaka.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah; Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit serta Ketua JSPT Melaka, Superintendan Roslan Mohamed @ Ab Aziz.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top