Haaland terpaksa berehat sehingga tujuh minggu

Haaland terpaksa berehat sehingga tujuh minggu

Manchester: Manchester City menerima tamparan hebat apabila Erling Haaland terpaksa berehat sehingga tujuh minggu akibat kecederaan buku lali, kata pengendali pasukan, Pep Guardiola.

Penyerang berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan ketika membantu City menang ke atas Bournemouth dalam aksi suku akhir Piala FA pada Ahad lalu.

Musim ini, Haaland menjaringkan 30 gol dalam 40 perlawanan di semua kejohanan.

“Ada tahun di mana perkara seperti ini berlaku. Kami sudah melalui musim yang penuh dengan kecederaan,” kata Guardiola dalam sidang media menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City, awal pagi Khamis.

“Doktor memberitahu saya bahawa Haaland perlu berehat antara lima hingga tujuh minggu. Kami berharap dia boleh kembali sebelum akhir musim atau sekurang-kurangnya menjelang Piala Dunia Kelab.”

Piala Dunia Kelab dijadual berlangsung dari 14 Jun hingga 13 Julai.

City kini berada di tangga kelima EPL, satu mata di belakang Chelsea dengan hanya sembilan perlawanan berbaki.

“Kami tidak mempunyai pemain lain yang memiliki kualiti seperti Haaland. Tetapi kami perlu menyesuaikan diri,” tambah Guardiola.

“Ini pertama kali sejak musim pertama saya di sini, sembilan tahun lalu, kami perlu berjuang untuk layak ke Liga Juara-Juara.”

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan lima perlawanan di laman sendiri, empat di tempat lawan. Kami perlu menang di Etihad dan mencuba yang terbaik untuk layak.”

Guardiola turut mengulas mengenai protes yang dirancang oleh penyokong Manchester City berhubung harga tiket dan kerjasama kelab dengan agensi jualan tiket sekunder.

“Mereka bebas bersuara. Kelab juga mempunyai alasan tersendiri untuk keputusan yang dibuat,” katanya.

“Saya lebih suka mereka lantang bersuara daripada hanya berdiam diri. Kelab perlu aktif dalam banyak aspek dan setiap keputusan diambil dengan pertimbangan yang sewajarnya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top