Selepas berlangsung konsert pertama, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) menyaksikan telatah pengacara Elly Mazlein turut menjadi perbualan ramai di media sosial.
Memetik laporan Harian Metro, dia yang popular dipanggil Kak Lina Pom Pom mengakui gementar bagi memikul tanggungjawab sebagai pengacara baharu dalam program tersebut.
“Memang gementar sampai nak pitam. Saya ambil tempat orang yang mana DNA GV ini, orang tahu macam mana Nabil Ahmad dan Jihan Muse serta produksi program ini.
“Saya seperti jiran baharu yang nak masuk rumah baharu. Jadi, saya nekad buat cara sendiri, turuti kemahuan GV.
“Satu hal yang membantu juga adalah saya kenal semua bintang-bintang bertanding. Jadi saya nak usik-usik pun tak malu.
“Saya pun masih bertatih dan paling risau penerimaan penonton. Oleh itu, saya buat saja yang terbaik. Itu pun periuk nasi kita. Takkan saya nak buat ala kadar,” kata Elly.
Penyanyi berusia 42 tahun tersebut berkata, dia berharap tenaga kelincahan yang ditunjukkan secara siaran langsung itu mampu dikekalkan sehingga pentas akhir.
“Macam dalam kelaslah. Kalau nak nombor satu, buat kerja rumah lebih. Saya buat sehabis baik kerana GV semua orang tahu dari musim pertama sampai lapan.
“Tugas itu agak berat sebenarnya kerana nak kekalkan momentum GV yang mana semua orang tertunggu-tunggu. Saya jadi saja diri sendiri,” ujarnya lagi.
GV9 menyaksikan 13 bintang merebut gelaran juara iaitu Shila Amzah, Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan, Tom, Tomok, Bob, Asheed, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla dan kumpulan VE.
Sumber: Harian Metro (Georgie Joseph) , Instagram Elly Mazlein